My Add

Friday 15 June 2012

Peniaga nasi lemak dipenjara seumur hidup mengilang senjata

SHAH ALAM, KHAMIS, 14 Jun, 2012: Seorang peniaga nasi lemak dijatuhi hukuman penjara seumur hidup dan enam sebatan oleh Mahkamah Tinggi hari ini kerana mengilang senjata atau amunisi tanpa lesen tiga tahun lepas.

Hakim Datuk Mohd Sofian Abd Razak turut menjatuhi hukuman penjara setahun ke atas Abdul Wahab Mohammad Noor, 45, kerana memiliki selaras revolver tiruan jenis Python 357.

Selain itu, dia dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan dua sebatan kerana memiliki 810 biji skru yang telah menimbulkan anggapan munasabah bagi tujuan menyalahi undang-undang.

Hakim Mohd Sofian memerintahkan ketiga-tiga hukuman penjara itu berjalan serentak berkuatkuasa dari tarikh Abdul Wahab ditangkap iaitu 2 April 2009.

Dalam penghakimannya, Mohd Sofian berkata tertuduh amat bernasib baik terlepas daripada hukuman mati kerana kesalahan mengilang senjata tanpa lesen mengikut Seksyen 12(1) Akta Senjata 1960 membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sebatan. 

"Tidak seperti kes pengedaran dadah, dalam kes ini, pihak pendakwaan tiada kuasa untuk reduce charge. It all depends on me. Saya berpuas hati kamu lakukannya sebagai hobi tetapi ia hobi yang amat bahaya.

"Kalau kamu dapat pengampunan (daripada Sultan) jangan ulangi kesalahan ini. Sekarang kamu akan ke penjara, belajarlah ilmu yang sesuai, buat kasut atau menjahit ke, saya harap kamu insaf dan terimalah takdir kamu ini," kata Mohd Sofian. 

Abdul Wahab mengaku bersalah melakukan ketiga-tiga kesalahan itu di No.2893, Batu 15, Paya Jaras Hilir, Petaling dekat sini pada 9.30 malam, 2 April 2009.
Tertuduh sebelum ini mengaku tidak bersalah dan dibicarakan bagi ketiga-tiga pertuduhan itu. 

Bagaimanapun, selepas sembilan saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan, Abdul Wahab menukar pengakuannya.

Terdahulu, dalam rayuan untuk pengurangan hukuman, peguam S.S.Ravichandran yang mewakili Abdul Wahab berkata anak guamnya yang beristeri dua mempunyai 11 orang anak termasuk seorang anak angkat, yang mana sebahagian besarnya masih bersekolah.

Ravichandran berkata, tertuduh membuat senapang angin sebagai hobi atas permintaan pelanggannya.

"Daripada keterangan saksi-saksi yang sudah beli senapang, mereka menggunakannya sebagai hobi untuk memburu puyuh, ayam hutan dan binatang liar kecil. Tiada keterangan menunjukkan senapang itu digunakan untuk mencederakan manusia," katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Fazillah Begum Abdul Ghani berkata keterangan menunjukkan tertuduh mempunyai daya pemikiran yang tinggi untuk membuat senapang daripada bahan-bahan yang secara tersendirinya tidak bahaya.

Bagaimanapun, beliau berkata apabila bahan-bahan itu dikumpulkan, ia menjadi senapang angin yang boleh digunakan untuk menembak.

"Saya tidak nafikan keterangan saksi-saksi bahawa penggunaan senapang adalah sebagai hobi tetapi kita tidak boleh ketepikan keterangan pegawai persenjataan daripada Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor yang memberitahu bahawa senapang buatan sendiri adalah bahaya dan boleh menyebabkan kematian," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment