My Add

Saturday 16 June 2012

Perantau Malaysia di AS sambut baik gelaran Tan Sri untuk Hamidon

NEW YORK, SABTU, 16 Jun, 2012: Berita tentang penganugerahan gelaran Tan Sri kepada Datuk Hamidon Ali, bekas wakil tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) di New York, disambut baik ahli kumpulan perantau Malaysia di Amerika. 

Pengerusi Persatuan Rakyat Malaysia di Amerika, Kim Bong berkata, beliau "menumpang gembira apabila Hamidon dianugerah gelaran Tan Sri”.

Persatuan itu bekerjasama rapat dengan pejabat konsul besar Malaysia di New York untuk menyelaras pelbagai aktiviti kebudayaaan dan sosial serta menjaga kebajikan masyarakat Malaysia di Amerika.

Nama Hamidon tersenarai sebagai penerima anugerah Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran Tan Sri sempena ulang tahun keputeraan Yang di-Pertuan Agong baru-baru ini. 

Kirby Tan, yang berasal dari Melaka dan bertugas sebagai pereka grafik bagi pameran perdagangan, berkata dia sungguh gembira apabila mendengar berita Hamidon dianugerahkan gelaran itu. 

Beliau memuji Hamidon kerana berjaya mewakili Malaysia pada forum antarabangsa hingga peranan penting Malaysia berhubung pelbagai isu global mendapat pujian pelbagai pihak. 

Apabila Malaysia dipilih sebagai presiden Majlis Ekonomi dan Sosial Pertubuhan Bangsa Bersatu (Ecosoc) secara bergilir dua tahun lepas, Hamidon diberi amanah mewakili Malaysia sebagai diplomat utamanya dalam Ecosoc dan mempengerusikan majlis itu.

Beberapa orang yang mempunyai hubungan dengan Ecosoc dan badan lain yang bersekutu dengan PBB berkata mereka "sungguh kagum" dengan "keputusan meyakinkan serta naluri diplomatik" Hamidon dalam menyelesaikan isu, yang kadangkala menghadapi kebuntuan kerana persoalan prosedur. 

Diplomat ASEAN yang berpejabat di sini juga menyuarakan pandangan serupa dan berkata Hamidon berjaya menggembleng suara kumpulan itu secara berkesan pada mesyuarat antarabangsa. 

Seorang diplomat Thailand yang enggan dikenali memberitahu Bernama bahawa beliau amat gembira apabila Hamidon dianugerahkan gelaran Tan Sri kerana diplomat Malaysia ini memang wajar menerimanya serta berharap Hamidon akan terus mencurahkan kepakarannya secara langsung di PBB kerana beliau "amat layak untuk berbuat demikian". - BERNAMA

No comments:

Post a Comment