My Add

Tuesday 19 June 2012

Persatuan Orang Kota Bharu lancar kad keahlian

*AMEER Ali Mydin (dua dari kiri) menerima kad keahlian POKB sebagai simbolik penerimaan kad itu daripada Mohamad Fatmi Che Salleh (dua dari kanan) sambil diperhatikan oleh Sheikh Ahmad Dusuki Sheikh Mohamad (kanan) pada Malam Himpunan Kasih 1Kota Bharu 2012 di Dewan Balora Perdana, Jabatan Pendaftaran Negara, Putrajaya, kelmarin.

PUTRAJAYA, ISNIN, 18 Jun, 2012: Persatuan Orang Kota Bharu (PKOB) memperkenalkan kad keahlian eksklusif yang bukan sahaja akan membantu pemegang kad itu berjimat tetapi juga mendapat pelbagai keistimewaan lain.

Kad keahlian tersebut yang terbuka kepada semua anak kelahiran Kota Bharu berusia 18 tahun ke atas menawarkan penjimatan ketika berbelanja di rangkaian pasar raya Mydin di seluruh negara dan outlet yang mengambil bahagian.

Presiden POKB, Sheikh Ahmad Dusuki Sheikh Mohamad berkata, kad tersebut merupakan satu-satunya kad yang diterima di pasar raya Mydin selain kad Meriah kepunyaan pasar raya besar itu.

"Kami mengucapkan terima kasih kepada Pengarah Urusan Mydin Holding Bhd. Datuk Ameer Ali Mydin yang sudi menerima kad ini digunakan di seluruh pasar raya miliknya.

"Dan saya yakin ahli POKB akan mendapat manfaat sepenuhnya ketika membeli-belah dan membeli runcit dengan harga borong," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Malam Himpunan Kasih 1Kota Bharu di sini semalam.

Majlis itu dirasmikan oleh Penasihat POKB, Datuk Mohamad Fatmi Che Salleh yang juga merupakan Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Idea memperkenalkan kad keahlian tersebut dicetuskan oleh Mohamad Fatmi bagi membantu penduduk Kota Bharu.

Seramai 700 tetamu terdiri daripada anak kelahiran Kota Bharu yang menetap dan bekerja di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor hadir memeriahkan majlis itu.

Turut dilancarkan pada majlis itu ialah lagu tema PKOB iaitu Ore Kota Bharu dan laman sesawang POKB, www.okb.com.my serta laman sosialnya, Facebook POKB.

Dalam pada itu, pada majlis sama, dua individu diberi penganugerahan khas di atas kejayaan mereka mengharumkan nama Kelantan di peringkat negara dan antarabangsa.

Mereka ialah ahli perniagaan, Datuk Nik Izani Nik Ibrahim yang diberikan anugerah Khas Abdul Rahman Ibnu Auf dan pelari solo wanita negara, Suwaibah Muhammad Nasir yang menerima anugerah Emas Pencapaian Luar Biasa.

Sementara itu, Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Abdul Aziz Ishak diberi penghormatan khas untuk menerima Kad Kehormat POKB sebagai Ahli Kehormat persatuan itu. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment