My Add

Sunday 17 June 2012

Petaling, Kuala Lumpur, Hulu Langat, Sepang alami kurang air

KUALA LUMPUR, AHAD, 17 Jun, 2012: Kawasan sekitar Petaling, Kuala Lumpur, Hulu Langat dan Sepang mengalami kekurangan bekalan air berikutan penurunan paras kolam imbangan Semenyih dan Langat sejak dua hari lalu. 

Menurut kenyataan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) hari ini kejadian itu berpunca daripada permintaan bekalan air yang meningkat berikutan cuaca panas menyebabkan paras kedua-dua kolam itu mengalami penyusutan agak ketara.

Syabas dimaklumkan bahawa tahap pengeluaran air terawat di kesemua 33 loji rawatan air di Selangor semalam berada pada tahap tertinggi iaitu 4,405 juta liter sehari berbanding tahap pengeluaran reka bentuk loji berjumlah 4,371 juta liter sehari.

Bagi Kuala Lumpur, kawasan yang mengalami gangguan bekalan air dan tekanan rendah ialah Taman Maluri, Angsana Hilir, Kampung Pandan, Taman Segar dan Taman Taynton View. 

Di Hulu Langat pula, kawasan yang terjejas ialah Sungai Besi Indah, Bukit Belimbing, Juara Jaya, Saujana Impian, Beranang, Bukit Semenyih, Sungai Tekali, Selesa Jaya, Taman Utama, Alamsari, Balakong, PKNS Beranang dan Kampung Baru Semenyih. 

Jalan Klang Lama, Sri Petaling, Desa Petaling dan sebahagian Seksyen 52, Petaling Jaya merupakan kawasan terjejas di Petaling dan IOI Serdang di Sepang. 

Syabas turut menyediakan 42 lori tangki dalam keadaan tunggu sedia untuk membantu membekal air ke kawasan yang terlibat sekiranya diperlukan. 
Bagaimanapun, pemantauan secara berterusan berhubung gangguan bekalan air ini akan terus dilakukan dan Syabas akan memaklumkan status terkini kepada pengguna sekiranya perlu. 

Syabas turut menasihati pengguna supaya berhemah menggunakan air bagi mengelak pembaziran ketika menghadapi cuaca panas dan kering yang dijangka berpanjangan. 

Pada masa sama, Syabas menyarankan pengguna supaya tidak menjalankan aktiviti yang boleh mengakibatkan kesan pencemaran kepada sungai bagi memastikan bekalan air yang bersih dan berterusan dapat disalur kepada pengguna. 

Untuk mendapatkan maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Perkhidmatan Pelanggan (PUSPEL) di talian bebas tol, 1-800-88-5252 atau SMS dengan menaip PUSPEL aduan/pertanyaan dan hantar ke 39222 ataupun membuat aduan di laman Facebook atau Twitter Syabas dengan menaip 'puspel' atau 'puspel syabas'. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment