My Add

Thursday 7 June 2012

Pimpinan Najib banyak terima pujian luar negara

IPOH, RABU, 06 Jun, 2012: Senator John McCain dan Joseph Liberman bukanlah pemimpin pertama yang memuji pentadbiran Malaysia, sebaliknya ramai pemimpin lain termasuk dari Asia Barat turut mengagumi kejayaan negara.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, Dr. Abdul Qadeer Khan yang dianggap Bapa Saintis Pakistan dalam satu temuramah baru-baru ini turut menyatakan impiannya menjadikan Malaysia sebagai model jika hendak membangunkan Pakistan.

“Ini membuktikan Malaysia disanjungi ramai pemimpin luar negara tetapi malangnya ada pemimpin dan rakyat di negara ini sendiri yang sanggup memburuk-burukkan negara kepada masyarakat dunia," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan McCain yang menyifatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai seorang reformis hebat yang sentiasa berusaha mempertingkatkan hubungan antara Amerika Syarikat (AS) dan Malaysia ke tahap lebih baik.

Perkara itu dinyatakan McCain melalui laman sosial Twitternya baru-baru ini selepas beliau dan Liberman mengadakan pertemuan dengan Najib di Putrajaya, bulan lepas.

Kedua-dua senator senior berpengaruh di AS itu turut mengakui Malaysia merupakan contoh sebuah negara Islam di mata dunia yang mengamalkan sistem demokrasi selain mempunyai kemajuan ekonomi yang menakjubkan.

Menurut Zambry, ketika Malaysia dan pemimpinnya menjadi sanjungan negara-negara lain, malangnya terdapat sebilangan rakyat negara ini tidak nampak dan tidak menghargai segala kebaikan yang ada di depan mata.

Sebaliknya, kata beliau, mereka melemparkan pelbagai tuduhan termasuklah kononnya Malaysia tidak demokratik.

“Kita kadang-kala keliru antara demokratik dan anarki. Kita ingat demokrasi boleh beri hak dan peluang untuk kita melakukan apa sahaja yang diingini, tetapi sebenarnya tindakan itu menjurus kepada anarki," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment