My Add

Monday 25 June 2012

PM umum subsidi TR1Ma

Oleh SITI MAISARAH SHEIKH RAHIM danMUHAMMAD AZRUL HADI
*SEBAHAGIA pemandu teksi memberi tepukan gemuruh sebaik sahaja Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pemberian baucar tayar bernilai RM520 untuk mereka dalam perhimpunan di pekarangan Kompleks Sukan Negara, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/Hafiz Johari

KUALA LUMPUR, AHAD, 24 Jun, 2012: Seramai 66,538 pemandu teksi di seluruh negara diberikan baucar bernilai RM520 setiap seorang untuk menggantikan empat tayar di bawah inisiatif program Teksi Rakyat 1Malaysia (TR1Ma).

Mengumumkan demikian ketika himpunan terbesar pemandu teksi di Bukit Jalil di sini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pemberian subsidi itu melibatkan dana sejumlah RM35 juta melalui Yayasan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) untuk tempoh dua tahun.

Menurut beliau, langkah itu dibuat sebagai menjaga kebajikan pemandu teksi, sekali gus memastikan keselamatan perjalanan mereka termasuk kira-kira 40,000 penumpang setiap hari.

‘‘Pemandu teksi boleh mendapat satu set tayar percuma di 300 pusat servis tayar buatan Malaysia yang dikenal pasti, boleh pilih antara Goodyear atau Continental.

‘‘Kita nak jaga kebajikan pemandu teksi, keselamatan mereka dan penumpang. Jika memandu teksi menggunakan terus tayar ‘botak’ boleh membahayakan. Jadi saya harap lepas ini gantilah tayar masing-masing,’’ katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran TR1Ma yang dianjurkan oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan Jabatan Penerangan.

Himpunan terbesar kira-kira 25,000 pemandu teksi dan ahli keluarga mereka itu turut dicatatkan dalam Malaysia Book of Records.

Turut hadir, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim; Pengerusi SPAD, Tan Sri Syed Hamid Albar dan Presiden Pertubuhan Pemandu dan Pengusaha Teksi/Limosin dan Kereta Sewa Malaysia (Petekma), Yusoff Lahir.

Pada majlis itu juga, Perdana Menteri mengumumkan pemberian dana melalui Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan berjumlah lebih RM1 juta. Dana itu bagi melindungi lebih 100,000 pemandu teksi seluruh negara melalui skim insurans perlindungan kemalangan diri.

Jelas beliau, skim insurans di bawah inisiatif TR1Ma iaitu meliputi perlindungan kematian akibat kemalangan RM10,000; ketidakupayaan kekal akibat kemalangan RM10,000; kos rawatan perubatan akibat kemalangan RM500; khairat kematian akibat kemalangan RM1,500 dan khairat kematian biasa RM1,000.

Najib berkata, kerajaan juga akan melonggarkan syarat untuk memudahkan pemandu teksi mendapatkan pinjaman menukar teksi lama mereka melalui skim pinjaman yang sebelum ini diuruskan Bank Simpanan Nasional (BSN) dengan memberi kadar faedah dua peratus bagi pemilikan teksi baru buatan tempatan.

‘‘Dalam Bajet 2012 lalu, kerajaan telah menawarkan bantuan rebat RM3,000 bagi melupuskan teksi lama melebihi tujuh tahun tetapi kurang daripada 10 tahun manakala bagi teksi yang berusia 10 tahun ke atas, RM1,000 diberikan.

‘‘Saya harap lebih ramai pemandu yang akan memanfaatkan skim ini dan merebut peluang yang disediakan. Namun, kita sedar ada yang menghadapi sedikit kekangan daripada syarat-syarat itu, kita akan kaji dan melonggarkannya,’’ katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment