My Add

Friday 15 June 2012

Polis buru 2 lelaki berhubung penemuan kilang dadah

PONTIAN, JUMAAT, 15 Jun, 2012: Polis Johor kini memburu dua lelaki berusia 20-an berhubung penemuan dadah ecstasy dan syabu bernilai keseluruhan RM17.5 juta di sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Baru Pekan Nenas, di sini Isnin lalu. 

Ketua Polis Johor, DCP Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff, berkata kedua-dua lelaki tempatan itu adalah sebahagian daripada enam lelaki termasuk warga asing yang dipercayai terbabit dalam kegiatan memproses dadah di kilang berkenaan.

"Kita mahu agar kedua-dua lelaki ini menyerah diri bagi membantu siasatan. Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai mereka boleh menghubungi hotline polis Johor di 07-2212999," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Dearah Pontian hari ini.

Katanya, polis kini sedang menyiasat sama ada dadah yang boleh digunakan seramai 350,150 orang itu adalah untuk pasaran tempatan atau antarabangsa. 

Kegiatan makmal memproses dadah yang berselindung di sebalik kilang makanan sejuk beku itu terbongkar apabila ia terbakar kira-kira 1.30 petang Isnin lalu. 

Polis yang dimaklumkan mengenai kejadian itu menemui 20.230 kilogram dadah jenis syabu bernilai RM5 juta dan 249,000 biji pil ecstasy bernilai RM12.5 juta, selain beberapa alat dan bahan memproses dadah, tiga pucuk pistol serta kelopak, 14 butir peluru dan 20 kelongsong peluru. 

Turut ditemui sebuah Mercedes Benz dan sebuah Honda Odyssey. 
Seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun ditahan di Kulaijaya kelmarin bagi membantu siasatan dan direman empat hari bermula semalam. 

Mohd Mokhtar mengesahkan lelaki itu tiada rekod jenayah dan ujian air kencing ke atasnya menunjukkan keputusan negatif. 

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 7 Akta Senjata Api 1971. 

Mengenai kes petinju negara, Muhamad Farkhan Mohd Haron yang dibelasah beberapa individu bulan lalu, Mohd Mokhtar berkata tiga kertas siasatan sudah dikemukakan kepada pihak timbalan pendakwa raya pada 25 Mei lalu untuk tindakan selanjutnya. 

Katanya, suspek utama sudah dibebaskan dengan jaminan polis. 

Menyangkal dakwaan Muhamad Farkhan bahawa tiada tindakan diambil ke atas suspek tersebut, Mohd Mokhtar berkata: "Tugas polis adalah menyiasat kes itu dan apabila kertas siasatan siap ia dikemukakan kepada pihak timbalan pendakwa raya untuk tindakan seterusnya". 

Katanya, sekiranya Muhamad Farkhan bimbang akan keselamatannya ataupun diugut beliau boleh menghubungi pihak polis untuk bantuan. 

Muhamad Farkhan dan Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo, dalam satu persidangan media semalam mempersoal mengapa pihak polis belum mengambil tindakan ke atas individu yang terbabit dalam serangan tersebut. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment