My Add

Thursday 7 June 2012

Polis buru tiga suspek terbabit dalam kes samun di Rompin

KUANTAN, KHAMIS, 07 Jun, 2012: Polis Pahang memburu tiga lelaki berusia lingkungan 30-an yang dipercayai terbabit dalam tiga kejadian samun berasingan di Rompin semalam.

Pegawai Urusetia Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Asisten Superintendan Noor Asyikin Shamsuri berkata, ketiga-tiga kejadian samun itu berlaku antara 6 pagi dan 9 pagi.

Dalam kejadian pertama di sebuah rumah di Tanjung Gemok antara 6.10 pagi dan 6.20 pagi, seorang wanita berusia 58 tahun hanya menyedari tiga suspek berada di dalam bilik sebelum salah seorang daripada mereka mengacukan pisau ke leher suaminya dan mengarahkannya supaya diam.

"Suspek meminta kedua-dua mangsa menutup muka dengan selimut sebelum menggeledah rumah berkenaan dan melarikan wang tunai serta telefon bimbit yang keseluruhannya dianggarkan bernilai RM2,200," katanya di sini, hari ini.

Katanya, mangsa kedua ialah seorang wanita berusia 22 tahun yang sedang tidur bersama anak lelakinya berumur empat tahun di rumah mereka di Bandar Baru Kuala Rompin manakala suaminya yang berumur 33 tahun pula keluar ke kedai untuk membeli sarapan pada 8.20 pagi.

Noor Asyikin berkata, suspek yang berjaya menceroboh rumah berkenaan kemudian masuk ke dalam bilik tidur dan mengacukan pisau ke arah suri rumah itu yang menyedari kehadiran mereka.

Ketiga-tiga suspek menggeledah rumah mangsa sebelum melarikan wang tunai RM4,000 serta telefon bimbit dengan anggaran kerugian RM6,000, katanya.

Kejadian ketiga pula membabitkan kerugian RM400 apabila mangsa, seorang wanita warga emas berumur 59 tahun, disamun di rumahnya oleh suspek yang sama di Taman Rompin Jaya, antara 8.30 pagi dan 9 pagi.

Ketiga-tiga suspek dipercayai bergegas meninggalkan tempat kejadian dengan menaiki kereta jenis Mazda berwarna putih dengan menggunakan nombor plat WNE 8780 yang disyaki palsu. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment