My Add

Monday 18 June 2012

Polis tumpas bookie bola Euro

JOHOR BAHRU, ISNIN, 18 Jun, 2012: Polis berjaya menumpaskan kegiatan bookie kejohanan Bola Sepak Eropah (Euro) 2012 dan lumba kuda serta ekor haram melibatkan nilai pertaruhan RM14 juta dalam empat serbuan di sekitar bandar raya ini sejak Khamis lalu sehingga semalam.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff, berkata 10 lelaki termasuk dua rakyat Singapura ditahan dalam serbuan berasingan itu yang dilakukan hasil maklumat orang awam.

"Dalam serbuan pertama 12.15 malam, di Taman Scientex dekat Pasir Gudang, Khamis lepas, polis berjaya menahan seorang lelaki berumur 36 tahun yang dipercayai terlibat dalam aktiviti bookie bola sepak Euro yang membabitkan nilai pertaruhan RM1.5 juta dalam masa seminggu lepas," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini, hari ini.

Mohd Mokhtar berkata polis merampas komputer, modem, kalkulator, dua telefon bimbit serta dua helai kertas yang tercatat angka-angka judi bola sepak dalam serbuan itu dan lelaki berkenaan kini ditahan reman untuk siasatan.

Beliau berkata dalam serbuan kedua jam 3 pagi di Taman Johor Jaya, Jumaat lalu pula, polis menahan enam lelaki berumur 37 hingga 51 tahun yang dipercayai terlibat dengan aktiviti yang sama yang juga membabitkan nilai pertaruhan RM1.5 juta dalam tempoh seminggu lalu.

Katanya, polis turut merampas komputer, modem, kalkulator, dua telefon bimbit serta dua kertas yang tercatat angka-angka judi bola sepak dalam serbuan itu dan semakan mendapati seorang daripada lelaki itu mempunyai tiga rekod jenayah membabitkan pencerobohan rumah dan judi.

Mohd Mokhtar berkata dalam serbuan ketiga jam 6 petang di sebuah pangsapuri di Jalan Datuk Abdullah Tahir, dua hari lepas pula, polis menahan dua lelaki rakyat Singapura berumur 30 tahun yang dipercayai terlibat dengan aktiviti bookie bola sepak Euro, ekor haram dan bookie lumba kuda yang melibatkan nilai pertaruhan RM10 juta dalam masa seminggu lalu.

"Dianggarkan pertaruhan bookie bola sepak itu bernilai RM6 juta manakala pertaruhan ekor haram dan bookie kuda bernilai RM2 juta setiap satu," katanya dan menurutnya dalam serbuan itu polis merampas dua komputer riba, enam monitor, mesin faks, 88 helai kertas tercatat angka-angka perjudian ekor haram, 23 kertas pertaruhan bola sepak Euro, empat telefon, dua pita perakam, empat telefon bimbit dan mesin cetak.

Beliau berkata, dalam serbuan terakhir, jam 4 pagi, di Taman Ungku Tun Aminah, dekat Skudai, semalam pula, polis berjaya menahan seorang lelaki berumur 44 tahun yang dipercayai terlibat dalam aktiviti bookie bola sepak Euro yang melibatkan nilai pertaruhan RM900,000 dalam masa seminggu.

Katanya, polis merampas komputer riba, wang tunai RM5,000, modem, dua telefon bimbit, pager, kalkulator serta 188 helai kertas yang tercatat angka-angka judi bola sepak. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment