My Add

Sunday 17 June 2012

Program hargai jasa guru wajar dijadikan amalan: Najib

KOTA KINABALU, AHAD, 17 Jun, 2012: Program bagi menghargai jasa guru wajar dijadikan sebagai amalan berterusan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini. 

Katanya, program seumpama itu mampu mencapai dua objektif besar iaitu memperlihat sumbangan besar golongan guru terhadap masyarakat dan membentuk keperibadian baik seseorang sejak dari awal usia.

"Guru adalah wira masyarakat atau dalam bahasa Inggeris 'the unsung heroes in the society'. Tetapi sumbangan mereka kepada masyarakat tidak ketara.

"Objektif kedua ialah ia (program) dapat membentuk keperibadian seseorang kerana kita perlukan generasi yang berpelajaran, yang berilmu pengetahuan, berperwatakan, mempunyai nilai-nilai murni, sikap positif dan perwatakan yang menyenangkan," katanya ketika merasmikan Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Melukis Kad Hari Guru Peringkat Negeri di sini. 

Najib berkata program seumpama itu mampu mengajar masyarakat, khususnya pelajar sekolah bagaimana untuk berterima kasih kepada seseorang yang telah berjasa. 

Beliau berkata, selain ibu bapa, guru adalah golongan yang memainkan peranan besar dalam memberi inspirasi kepada pelajar untuk memajukan diri. 

Katanya, masyarakat yang berperwatakan baik dan mampu menghargai sumbangan yang diterima pasti akan berjaya dalam hidup, sekaligus berupaya membantu untuk memajukan negara. 

"Ke arah tahun 2020 untuk mentransformasikan negara, kami (kerajaan) berjanji untuk menunaikan tanggungjawab kami. Tetapi negara memerlukan rakyat untuk bersama dan menyokong kerajaan dalam perjalanan (mentransformasikan negara) ini. 

"Seperti perjalanan dalam kereta api, kita perlukan penumpang yang baik, mengikut undang-undang, mengekalkan keamanan dan memberi sokongan kepada pemandu kereta api untuk sampai ke destinasi yang dituju," jelasnya. 

Beliau juga berkata, usaha membangunkan modal insan yang cemerlang dan berperwatakan baik sejak awal usia merupakan satu usaha yang ditekankan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor menerusi Program Permata Negara. 

Katanya, semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing dalam melahirkan modal insan yang mencukupi dan berkualiti untuk negara. 

Sejurus selepas majlis terbabit, Najib berlepas pulang ke Kuala Lumpur. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment