My Add

Tuesday 19 June 2012

PSC cadang TOL dikeluarkan untuk kilang Lynas

KUALA LUMPUR, SELASA, 19 Jun, 2012: Jawatankuasa khas mengenai projek kilang memproses nadir bumi di Gebeng, Kuantan merumuskan bahawa kilang itu bukan loji nuklear, dan mengesyorkan supaya lesen pengendalian sementara (TOL) dikeluarkan bagi membolehkan kilang itu beroperasi.

Ini merupakan antara enam rumusan yang terkandung dalam laporan Jawatankuasa Pilihan Khas mengenai Lynas Advanced Materials Plant (LAMP) yang turut mengandungi 31 syor yang dibentang di Dewan Rakyat hari ini.

"Jawatankuasa mengesyorkan agar lesen Kelas A (mengilang - peringkat pengendalian sementara/TOL)) dikeluarkan supaya LAMP dapat mengilang bahan mentah pekatan lantanid secara berperingkat dan terhad serta dikawal selia secara berterusan oleh agensi penguatkuasa," kata laporan itu.

Bagaimanapun, jawatankuasa itu menegaskan LAMP perlu mematuhi semua syarat lesen yang lazim dan syarat tambahan yang dikenakan dalam lesen TOL, dan data yang diperolehi di peringkat ini akan menjadi asas kepada pertimbangan proses perlesenan selanjutnya.

Berdasarkan fakta saintifik, takrifan undang-undang dan maklumat yang diperoleh daripada pakar-pakar, jawatankuasa itu berpuas hati bahawa projek LAMP merupakan kilang kimia yang menghasilkan nadir bumi dan bukannya loji nuklear atau aktiviti perlombongan.

"Jawatankuasa berpuas hati projek LAMP telah memenuhi keperluan standard dan perundangan di Malaysia yang setaraf dengan amalan dan standard antarabangsa.

"Malah, terdapat peruntukan undang-undang dan standard yang dikenakan terhadap projek LAMP adalah lebih ketat berbanding standard antarabangsa," kata laporan itu.

Projek Lynas adalah projek syarikat Lynas Malaysia Sdn Bhd yang bertujuan memproses bahan mentah pekatan lantanid yang diimport dari Mount Weld di Australia Barat bagi pengeluaran nadir bumi oksida dan karbonat di Kawasan Perindustrian Gebeng, Kuantan, Pahang. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment