My Add

Thursday 7 June 2012

PTPTN beku pinjaman sementara waktu

ROBIATULADAWIYAH ABD RASHAD
SHAH ALAM, KHAMIS, 07 Jun, 2012: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) pihaknya telah memutuskan untuk membekukan sementara waktu pemberian pinjaman kepada pelajar baru Universiti Industri Selangor (Unisel).

Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan semalam, keputusan itu dibuat setelah terdapat suara dan desakan supaya pendidikan percuma diperkenalkan di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dalam negara dan PTPTN dimansuhkan.

“PTPTN sentiasa mengikuti perkembangan ini dan memandangkan berat cadangan dan desakan tersebut, terutamanya ia datang daripada parti pembangkang yang kebetulan adalah kerajaan di negeri Selangor.

“PTPTN beranggapan bahawa IPT yang dikuasai oleh kerajaan negeri seperti Unisel dan Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS) bersedia dan komited untuk memberikan pendidikan percuma kepada para pelajarnya sekali gus menolak pinjaman PTPTN,” kata kenyataan itu dipetik Sinar Harian

Bagaimanapun, PTPTN percaya ada kesungguhan kerajaan negeri untuk melaksanakan pendidikan percuma , oleh yang demikian pinjaman PTPTN untuk para pelajar tidak diperlukan.

Setelah menimbang perkembangan itu, PTPTN membuat keputusan untuk menangguhkan pinjaman PTPTN kepada para pelajar Unisel buat sementara waktu.

Keputusan itu telah dimaklumkan kepada Kementerian Pengajian Tinggi.

Menurut kenyataan itu, keputusan itu dibuat juga setelah mengambil kira beberapa faktor termasuk kenyataan yang dibuat oleh Penasihat Ekonomi Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini yang menggesa agar peminjam tidak membayar PTPTN.

Gesaan itu akan menjejaskan keupayaan pembiayaan PTPTN di mana dana bayaran balik ini akan digunakan untuk membiayai pinjaman bagi pelajar yang sedang mengikuti pengajian termasuk di Unisel.

“PTPTN perlu mengambil masa untuk mengkaji implikasi kewangan yang bakal ditanggung apabila peminjam tidak membayar balik dan sudah tentulah akan menjejaskan kemampuan PTPTN memberi pinjaman kepada pelajar baharu.

“Seterusnya, PTPTN akan membuat keputusan muktamad selepas berpuas hati mengenai pendirian dan jaminan Unisel dalam perkara ini,” kata kenyataan itu lagi.

No comments:

Post a Comment