My Add

Sunday 17 June 2012

Pusat Kraftangan Sabah jana hasil lebih baik

KENINGAU, SABTU, 16 Jun, 2012: Pembinaan Pusat Kraftangan Sabah di sini yang bernilai RM30 juta disifatkan Perdana Menteri sebagai kerjasama bijak antara Kerajaan Pusat dan negeri dalam meningkatkan pendapatan penduduk negeri ini.

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kos pembinaannya yang dibiayai oleh Yayasan Sabah, manakala program, kursus dan penyediaan peralatan ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Pusat sebagai langkah tepat dalam memasarkan barangan kraf di negeri itu ke peringkat lebih tinggi.

Katanya, bakat dan hasil kreativiti masyarakat Sabah yang unik tidak seharusnya sekadar berada pada peringkat domestik atau nasional sahaja, tetapi perlu dilonjakkan ke peringkat antarabangsa.

"Ia merupakan agenda besar dan perancangan jitu kerajaan dalam melaksanakan proses transformasi masyarakat luar bandar, sekali gus membawa kesinambungan pembangunan dan keadilan sosial ke tahap yang lebih baik," katanya ketika berucap pada majlis perasmian Pusat Kraftangan Sabah di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman; Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal serta Ahli Parlimen Keningau yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.

Tegas Najib, pelaksanaan program transformasi bukanlah satu janji kosong yang dibuat hanya kerana menjelang pilihan raya, namun ia adalah komitmen kerajaan bagi meningkatkan pendapatan masyarakat luar bandar.

"Usaha kerajaan itu sama sekali berbeza dengan pembangkang yang hanya tahu berjanji perkara tidak pasti. Kerajaan Barisan Nasional (BN) berpijak di atas bumi yang nyata dan bukannya berjanji kosong atau bercakap bohong," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment