My Add

Thursday 7 June 2012

Raja Permaisuri Agong melawat Rumah Bakti Datuk Harun

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 07 Jun, 2012: Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah berkenan berangkat melawat Rumah Bakti Datuk Harun (RBDH) di Hulu Kelang dekat sini, hari ini sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah. 

Ketibaan Seri Paduka disambut isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Heng Seai Kie serta Pengerusi RBDH, Datuk Mohd Fahmi Ibrahim.

Seri Paduka kemudian berkenan menandatangani buku pelawat serta meluangkan masa meninjau Perpustakaan Ibnu Sina dan makmal komputer RBDH.

Tuanku Hajah Haminah kemudian berkenan menyampaikan cek bernilai RM15,000 serta cenderahati kepada RBDH dan beramah mesra dengan 150 anak yatim dari pelbagai rumah kebajikan di sekitar Hulu Kelang. 

Seri Paduka turut dipersembahkan dengan tarian serta nyanyian oleh anak-anak yatim dari Rumah Ozanam, Rumah Omar Hasfizal dan Pusat Perkhidmatan Komuniti untuk Orang Pekak. 

RBDH, yang ditubuhkan pada 1966, dinaungi Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan diasaskan bekas Menteri Besar Selangor, Allahyarham Datuk Harun Idris. 

Rumah kebajikan itu, yang mula beroperasi pada 1976, dilengkapi pelbagai kemudahan serta prasarana termasuk blok asrama, bilik rehat, gelanggang badminton, surau, dewan makan, makmal komputer, perpustakaan dan bilik multimedia.

Sehingga 30 April lepas, ia dihuni 85 anak yatim pelbagai kaum yang berusia dari 7 hingga 18 tahun. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment