My Add

Saturday 16 June 2012

Rakyat Pulau Pinang harus faham jasa BN: Muhyiddin

GEORGETOWN, SABTU, 16 Jun, 2012: Rakyat Pulau Pinang hari ini diingatkan supaya tidak memandang ringan sumbangan Barisan Nasional (BN) dalam membangunkan negeri ini, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin. 

Timbalan Perdana Menteri berkata, sesiapa pun tidak dapat menafikan bahawa pembangunan yang dikecapi rakyat negeri ini adalah hasil sumbangan kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri semasa zaman pemerintahan BN.

"Saya bukan mahu mendabik dada tentang apa yang telah BN lakukan sebelum ini. Ini untuk mengingatkan rakyat atas apa yang telah kita lakukan. Rakyat mesti diberikan kefahaman yang betul. Sumbangan kerajaan pusat amat besar," katanya selepas menghadiri majlis perhimpunan warga industri bersama Timbalan Perdana Menteri di sini.

Beliau berkata, tidak banyak negara di dunia yang mengambil berat soal kebajikan rakyat seperti yang dilakukan oleh BN yang terus menyalurkan bantuan kepada semua termasuk negeri-negeri di bawah pimpinan pakatan pembangkang. 

Katanya, antara usaha yang diambil oleh BN termasuklah memberi subsidi barangan keperluan harian, mengawal harga barang semasa musim perayaan dan terbaru memberi Bantuan Rakyat 1Malaysia. 

Terdahulu, dalam ucapannya beliau berkata rakyat tidak mempunyai sebab yang munasabah untuk mengadakan demonstrasi bagi mendesak kerajaan melakukan perubahan kerana kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah pun memperkenal pelbagai program transformasi kerajaan (GTP) untuk menambah baik kehidupan rakyat. 

Beliau berkata, kerajaan sedang berusaha untuk meningkatkan taraf hidup rakyat dengan memperkenal skim gaji minimum pada pekerja swasta dan juga menjadikan Malaysia sebagai negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020. 

"Untuk mencapai ke tahap itu (negara berpendapatan tinggi) kita tidak boleh tunggu tanpa usaha, bukan satu perkara mudah. Kita perlu ada satu perancangan, dasar, pelan tindakan, program untuk menarik pelabur. Setiap minggu, saya dan kabinet berbincang bagaimana kita hendak melonjakkan ekonomi kita," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment