My Add

Monday 25 June 2012

RAPID: Pampasan tanah belum diumum - MB

NUSAJAYA, ISNIN,  25 Jun, 2012: Kerajaan Johor belum membuat bayaran atau pengumuman mengenai pampasan tanah untuk tapak kediaman penduduk yang akan diambil kerajaan bagi pembangunan Projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) di Pengerang, dekat Kota Tinggi. 

Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman, berkata ini kerana urusan pengambilan balik tanah yang terbabit masih di peringkat awal dan Seksyen 8 Akta Pengambilan Tanah 1960 belum lagi diwartakan.

"Maklumat-maklumat terperinci mengenai proses pengambilan balik tanah, kawasan yang terlibat, kawasan penempatan semula penduduk, penempatan semula kemudahan awam seperti sekolah, klinik, balai polis dan peluang pekerjaan dan sebagainya sudah dipaparkan di Pusat Informasi Setempat Pengerang (PISP) yang dibuka setiap hari dari 9 pagi hingga 5 petang kecuali Isnin.

"Penduduk boleh mendapatkan maklumat dan bertanyakan soalan mengenai projek pembangunan industri minyak dan gas serta penempatan di pusat tersebut. Di samping itu, penduduk juga boleh mengemukakan cadangan dan pandangan mereka dengan mengisi borang maklum balas yang disediakan PISP," katanya. 

Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan persidangan kelima Dewan Undangan Negeri Johor kali ke-12, di sini hari ini ketika menjawab soalan Dr Boo Cheng Hau (DAP-Skudai) yang mahukan penjelasan berhubung bayaran pampasan kerajaan kepada penduduk untuk pengambilan tapak kediaman. 

Abdul Ghani berkata, dua kawasan penempatan semula dikenal pasti iaitu fasa pertama di atas lot PTD4589 dan PTD4590, Mukim Pantai Timur Pengerang yang berkeluasan 154.8 hektar. 

Beliau berkata, kawasan yang dijangka akan mula diduduki pada Mac tahun depan itu memuatkan 1,000 unit rumah yang dilengkapi sistem kumbahan bersepadu, tangki air menegak, sekolah rendah dan menengah, masjid, balai polis dan sebagainya. 

"Penempatan semula penduduk untuk fasa dua akan dibuat di kawasan Punggai yang berkeluasan 308 hektar dengan konsep penempatan itu mengekalkan kembali kejiranan sedia ada," katanya. 

Abdul Ghani berkata, setiap tapak rumah akan berkeluasan 6,000 kaki persegi dengan bayaran nominal RM1 dan kerajaan akan membina tiga jenis rumah gantian di kawasan penempatan semula penduduk berkenaan. 

Katanya, rumah berkeluasan 1,000 kaki persegi berharga RM65,000, 1,300 kaki persegi (RM85,000) manakala 1,600 kaki persegi (RM105,000) dan penduduk mempunyai pilihan untuk memilih keluasan yang mereka kehendaki berdasarkan kemampuan masing-masing. 

Mengenai nelayan di sekitar kawasan terbabit, Abdul Ghani berkata hanya bayaran dalam bentuk sagu hati sudah dibayar setakat ini atas dasar terjejasnya mata pencarian golongan berkenaan. 

Beliau berkata, pelbagai perancangan dan bantuan dirancang untuk membantu mereka termasuk menyediakan pusat perikanan baru di Sungai Musoh selain memberikan program latihan dan menaik taraf nelayan pesisir pantai kepada nelayan laut tengah dan laut dalam. 

"Pembangunan industri minyak dan gas banyak memberi rezeki baru untuk penduduk Pengerang termasuk limpahan pekerjaan. Oleh itu, penduduk perlu merebut peluang yang boleh diraih. 

"Kerajaan Johor dengan kerjasama jabatan dan agensi pembangunan usahawan juga sedang mengaturkan program keusahawanan seperti program satu kampung satu industri dan mewujudkan pusat pengumpulan industri kecil dan sederhana bagi membimbing penduduk menyertai bidang keusahawanan," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment