KAJANG, ISNIN, 25 Jun, 2012: Pemakaian pangkat yang sama seperti anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) oleh anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA) tidak akan dilaksanakan, kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Kabinet Jumaat lalu demi menjaga sensitiviti banyak pihak.
"Ia juga berikutan memorandum yang dikemukakan Persatuan Pegawai-Pegawai Kanan Angkatan Tentera," katanya pada sidang media selepas merasmikan Bengkel Kesedaran Rang Undang-Undang Konvensyen Senjata Biologi dan Toksin di sini hari ini.
Baru-baru ini terdapat cadangan daripada pihak tertentu agar anggota RELA juga menggunakan pemakaian pangkat yang sama sebagaimana anggota ATM.
Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid menyelar sikap segelintir agensi yang diberi tanggungjawab untuk hadir pada bengkel tersebut tetapi gagal berbuat demikian.
"Kegagalan pihak berkaitan menghadirkan diri menyebabkan kesukaran untuk kementerian mendapatkan input mengenai rang undang-undang itu," katanya.
Zahid berkata, rang undang-undang itu perlu digubal dengan teliti supaya pelaksanaannya kelak tidak menjejaskan kemajuan penyelidikan sains kehidupan serta ekonomi negara.
"Kita tidak mahu bila draf mengenainya dibentangkan di Parlimen, barulah nak bagi input baru menerusi saluran yang tidak rasmi dan akan menyebabkan rang-rang undang-undang itu ditarik balik selepas digazetkan" katanya.
Beliau berkata, penyediaan rang undang-undang tersebut bertujuan menghalang sebarang penghasilan, pembangunan, penyimpanan sebarang bentuk senjata biologi dan juga mencegah penyalahgunaan penyelidikan bagi tujuan keganasan.
"Selain itu ia juga sebagai langkah negara mematuhi konvensyen senjata biologi dan toksin yang sudah ditandatangani pada 10 April 1972 dan meratifikasikannya pada 6 September 1991," katanya. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment