My Add

Monday 25 June 2012

RM11 juta bayar elaun BSKN

SUNGAI BULOH, AHAD, 24 Jun, 2012: Sejumlah RM11 juta diperuntukkan kerajaan untuk membayar elaun anggota Briged Sukarelawan Khidmat Negara (BSKN) yang dianggotai bekas pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN). 

BSKN dilancarkan pada Februari lalu oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk menjalankan kerja sukarelawan termasuk bantuan kemanusiaan dan kerja kemasyarakatan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata Kabinet sudah meluluskan peruntukan itu bagi membiayai kos elaun kepada semua sukarelawan alumni PLKN yang menyertai briged itu.

“Kita percaya BSKN akan menjadi satu badan sukarela yang aktif kerana jumlah anggotanya ramai. Buat buat masa ini ada lebih 620,000 alumni PLKN di seluruh negara. 

“Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) sudah pun diarahkan mengambil tindakan susulan bagi menggalakkan semua alumni PLKN untuk menganggotai briged itu dan aktif di tempat masing-masing,” katanya. 

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Koperasi Tentera ke-47, di Kem Perbadanan Hal Ehwal Angkatan Tentera (Perhebat), di sini, hari ini.

Mengulas cadangan semua lepasan Tingkatan Lima dan remaja berumur 18 tahun ke atas diharuskan menyertai PLKN, Zahid berkata cadangan itu akan dikaji terlebih dulu, namun mengakui agak mustahil untuk dilaksanakan sekarang kerana membabitkan perbelanjaan yang besar. 

“Anggota Majlis Latihan Khidmat Negara ada membincangkan perkara itu, namun ia perlu diseimbangkan dengan kemampuan kewangan negara,” katanya. 

Pada sidang media itu, Zahid turut mengesahkan hanya tinggal dua pelatih PLKN dari Kem Dusun Resort, Kuala Nerang masih dirawat di Hospital Kuala Nerang akibat jangkitan virus influenza A (H1N1). - BERITA HARIAN

No comments:

Post a Comment