My Add

Wednesday 20 June 2012

RM160 bilion dijangka dilabur dalam projek rel hingga 2020

PUTRAJAYA, RABU, 20 Jun, 2012: Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) menganggarkan RM160 bilion akan dilabur bagi melaksanakan projek rel di negara ini hingga 2020. 

Pengerusinya, Tan Sri Syed Hamid Albar, berkata anggaran itu dibuat berdasarkan pembangunan semasa industri berkenaan.

"Ini hanya mengambil kira projek semasa dan ada banyak lagi mengenainya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis Taklimat Untuk Pemegang Kepentingan Rel 2030: Rangka Tindakan Pembangunan Industri Rel Kebangsaan" di sini hari ini.

Beliau menjelaskan bahawa sejak 1990-an, kerajaan melabur lebih RM50 bilion dalam pengangkutan rel. 

Syed Hamid berkata kerajaan sedang membuat kajian tentang pelaksanaan Projek Transit Deras (RTS) dan Rel Berkelajuan Tinggi (HSR) serta melantik juruperunding teknikal, ekonomi serta kewangan untuk tujuan itu. 

"Kajian kemungkinan mengenainya sedang dijalankan. Saya rasa masih agak awal untuk kami menyatakan bilakah tren berkenaan akan ditauliahkan. Malah, kami belum tahu sama ada kami akan meneruskan projek ini. 

"Tapi, kami perlu menelitinya sekarang. Selepas ini, tindakan akan diambil sekiranya kajian mendapati ia boleh memberi hasil positif," katanya sambil memaklumkan bahawa kajian itu akan siap menjelang akhir tahun ini. 

Terdahulu, dalam ucapannya, Syed Hamid berkata SPAD sedang menjalankan beberapa siri kajian ke arah memantapkan sistem pengangkutan awam darat, termasuk menyambung landasan KL Monorail sepanjang 7 km lagi iaitu dari stesen Tun Sambanthan, Brickfields ke Happy Garden di Jalan Klang Lama dan menyambung landasan LRT sepanjang 23 km lagi dari Kelana Jaya ke Klang. 

Katanya, kajian itu juga melibatkan Laluan Lingkaran MRT 2 sepanjang 36 km dari Sentul Timur ke Ampang, Laluan Utara-Selatan MRT 3 sepanjang 58 km dari Selayang ke Putrajaya dan KTMB Freight Relieved Line sepanjang 18 km dari Subang ke Pelabuhan Klang. 

Walaupun ketika ini sebahagian besar projek rel melibatkan kawasan Lembah Klang, akhirnya ia akan diperluaskan ke seluruh negara, termasuk Sabah dan Sarawak, katanya. 

Mengenai majlis berkenaan, Syed Hamid berkata di samping bertujuan melakar kepesatan pertumbuhan dan arah tuju industri rel, program berkenan juga memberi sumbangan penting kerana ia menawarkan peluang untuk memperkukuh kemampuan negara dalam bidang industri, teknologi dan ekonomi ke arah meningkatkan daya saing negara dan menyokong pembentukan masyarakat berpendapatan tinggi. 

Anjuran Kumpulan Industri-Kerajaan Malaysia bagi Teknologi Tinggi (MIGHT), majlis itu dihadiri pelbagai badan pemegang kepentingan rel, bagi membangunkan pelan tindakan untuk industri rel tempatan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment