My Add

Tuesday 5 June 2012

Sampah tingkat kos selenggara SMART

KUALA LUMPUR: Masalah lebihan sampah menjadi antara penyumbang kepada peningkatan kos operasi dan penyelenggaraan Terowong Pengurusan Air Banjir dan Jalan Raya (SMART). 

Pengarah Pusat Kawalan SMART (SCC), Nor Hisham Mohd Ghazali, berkata SCC membelanjakan kira-kira RM12,000 sebulan bagi menguruskan sampah yang tersekat dan terperangkap pada sistem perangkap sampah automatik SMART.

"Secara purata, SCC terpaksa menguruskan kira-kira lima tan sampah setiap hari yang datang melalui aliran arus dua sungai utama di bawah kawalan projek SMART iaitu Sungai Klang dan Sungai Ampang.

"Peningkatan kos berlaku apabila kita terpaksa mengupah kontraktor khas bagi mengeluarkan lebihan sampah daripada sistem perangkap sampah yang seterusnya boleh menjejaskan keberkesanan operasi terowong SMART," katanya kepada pemberita pada sesi SCC bersama media, di sini hari ini. 

Nor Hisham berkata, peningkatan kos operasi juga terjadi apabila berlaku kerosakan kecil pada sesetengah komponen yang menyokong sistem SMART akibat masalah sampah yang tidak diselenggara dengan baik. 

Justeru, beliau berkata bagi menangani masalah tersebut, SCC sentiasa mengambil langkah proaktif bagi memastikan operasi SMART berjalan lancar dan berfungsi pada waktu yang sepatutnya. 

"Selain menjalankan pemantauan berterusan terhadap sistem perangkap sampah automatik, kita juga akan memperbanyakkan program kesedaran bagi mendekati masyarakat setempat supaya mereka lebih peka terhadap masalah ini dan tidak lagi membuang sampah ke dalam sungai," katanya.

Ditanya mengenai keberkesanan terowong yang dibina dengan kos RM1.9 bilion itu sejak mula beroperasi pada 2003 dalam menangani masalah banjir di bandar raya, beliau berkata perkara tersebut perlu dinilai daripada pelbagai sudut. 

"Jika dilihat dari dua kes banjir yang berlaku pada tahun ini, iaitu pada Mac dan Mei lalu, data menunjukkan SMART berjaya melencongkan kira-kira tiga juta meter padu aliran air yang boleh mengakibatkan banjir yang lebih teruk di ibu kota ke kawasan tadahan...ini satu kejayaan," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment