My Add

Sunday 17 June 2012

SHURA minta PM bantu umat Islam Rohingya

*SEORANG wanita Rohingya dari daerah Rakhine, Myanmar memangku anaknya di atas sebuah bot ketika cuba memasuki Bangladesh untuk mencari perlindungan di Teknaf, baru-baru ini. - REUTERS

ALOR SETAR, SABTU,16 Jun, 2012: Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia (SHURA) meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membantu masyarakat Islam Rohingya di Myanmar yang berdepan dengan kekejaman rejim tentera negara itu.

Pengerusi SHURA, Abdul Ghani Samsudin berkata, pihaknya telah menghantar surat kepada Perdana Menteri dan masih menunggu jawapan beliau berhubung perkara tersebut.

"Sebagai saudara seagama, kita perlu membantu umat Islam Rohingya yang kini berdepan dengan kezaliman dari etnik Rakhine dan pemerintah Myanmar.

"Oleh itu, kami memohon bantuan Perdana Menteri supaya dapat berunding dengan pemimpin Myanmar dan negara ASEAN lain bagi menyelesaikan masalah ini," katanya kepada pemberita selepas persidangan ulama tergempar ASEAN mengenai masalah umat Islam Rohingya di sini hari ini.

Menurutnya, pemerintah Islam hendaklah menggunakan seluruh kekuatan dari segi politik, ekonomi dan ketenteraan untuk menghentikan kezaliman yang dilakukan ke atas umat Islam Rohingya.

Semua ahli politik yang beragama Islam tambahnya, perlu bersatu merentasi sempadan parti politik untuk bersama-sama membantu saudara Islam di Myanmar.

"Masyarakat Islam Rohingya ini dibunuh serta dibakar di negara sendiri dan hak mereka sebagai minoriti Muslim dinafikan pemerintah.

"Sampai bila kita hanya mampu melihat mereka ini dihapuskan rejim tentera Myanmar," jelasnya.

Tambahnya, SHURA yang merupakan gabungan kira-kira 20 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga bersedia menghantar sukarelawan ke Arakan, Myanmar bagi membantu umat Islam di sana.

Pada masa sama, kata beliau, pihaknya menggesa semua pemimpin Islam sama ada dari parti politik atau NGO mengatur persiapan menghantar wakil bagi mendesak Myanmar memberi laluan masuk ke wilayah Arakan.

"Bantuan yang akan diberikan adalah berupa bantuan kemanusiaan yang amat diperlukan umat Islam Rohingya yang tertindas di sana," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment