My Add

Friday 8 June 2012

SPRM digesa panggil Abdul Murad

Hamidzun Khairuddin
KUALA LUMPUR, KHAMIS, 07 Jun, 2012: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa memanggil bekas Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Abdul Murad Khalid bagi memberi penjelasan berhubung akuan berkanun yang pernah dibuatnya dahulu.

Presiden Gabungan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS), Hamidzun Khairuddin berkata, langkah itu perlu agar kebenaran berhubung dakwaan terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dikatakan mengawal 20 akaun induk ketika menjawat jawatan Menteri Kewangan dan Timbalan Perdana Menteri dapat dibuktikan.

Beliau melihat kemungkinan ada bukti-bukti baru yang cuba diketengahkan dalam kes tersebut berdasarkan apa yang dibangkitkan kini.

"Abdul Murad mempunyai hubungan yang baik dengan Anwar dan beliau juga mempunyai integriti yang tinggi.

"Justeru, pihak berkuasa terbabit perlu menyiasat semula dokumen-dokumen berkaitan bagi menentukan kesahihannya dan jika benar seperti yang didakwa, ia perlu dibawa ke tengah bersama dengan bukti yang ada," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sementara itu, Presiden Badan Bertindak Anti Penyelewengan Negeri Kedah, Khairul Anuar Ramli meminta Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) tampil memberi penjelasan berhubung isu itu.

Jelasnya, sekiranya Anwar gagal tampil menjelaskan perkara sebenar pihak berkuasa perlu mengambil tindakan segera.

"Sekiranya Anwar memberi kenyataan sudah tentu beliau dapat membersihkan namanya sekali gus menunjukkan sikap telus seperti yang dilaung-laungkan sebelum ini," jelasnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment