My Add

Friday 15 June 2012

SPRM teliti dakwaan Anwar kawal aset RM3b - Abu Kassim

GEORGETOWN, KHAMIS, 14 Jun, 2012: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang memberi tumpuan terhadap laporan yang dibuat oleh beberapa pihak terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung dakwaan pernah mengawal 20 akaun induk bernilai RM3 bilion. 

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abu Kassim Mohamed, bagaimanapun berkata beliau tidak boleh mengulas lanjut mengenai perkara itu kerana terikat dengan dasar SPRM yang tidak boleh mendedahkan sebarang siasatan.

"Apa sahaja aduan yang mempunyai unsur rasuah kita akan siasat tidak kira siapa yang membuat aduan dan siapa yang dituduh," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penerangan dan Diskusi Meja Bulat Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Pencegahan Rasuah bersama pelabur asing, di sini hari ini.

Abu Kassim berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA), Datuk Ibrahim Ali, yang menimbulkan persoalan mengenai status siasatan SPRM terhadap kes yang didedahkan oleh bekas Penolong Gabenor Bank Negara, Datuk Abdul Murad Khalid. 

Murad, dalam akuan berkanunnya, mendedahkan Anwar semasa memegang jawatan Menteri Kewangan pada tahun 1990-an pernah mengawal sebanyak 20 akaun induk membabitkan aset, saham dan wang yang keseluruhannya bernilai lebih RM3 bilion. 

Abu Kassim berkata, SPRM juga akan membuka kertas siasatan terhadap Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali, berhubung dakwaan memiliki aset melebihi RM30 juta jika pihaknya memperoleh keterangan yang kukuh berhubung dakwaan itu. 

"Sekiranya ada keterangan baru yang boleh membawa kepada pembukaannya (fail siasatan) kita akan buka sekiranya tiada kita tidak akan membuka...dasar kita iaitu semua kes yang ditutup akan ditutup sehingga ada keterangan baru," katanya. 

Baru-baru ini, Panel Penilaian Operasi SPRM mengarahkan siasatan dijalankan terhadap Azmin yang didakwa memiliki aset dan harta melebihi pendapatan penjawat awam, antara 1995 dan 1997, ketika menjadi Setiausaha Sulit Anwar yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri. 

Pengerusinya, Tan Sri Dr Hadenan Abdul Jalil, berkata panel mengarahkan SPRM menyambung siasatan berdasarkan kertas laporan siasatan yang dibuka pada 2009. 
- BERNAMA

No comments:

Post a Comment