My Add

Tuesday 19 June 2012

Syed Ali bidas Dong Zong

KUALA LUMPUR, ISNIN, 18 Jun, 2012: UMNO Bahagian Cheras membidas Persatuan Jawatankuasa Sekolah Bersatu Malaysia (Dong Zong) yang membangkitkan semula dakwaan kononnya kerajaan meminggirkan aspek pendidikan kaum Cina di negara ini.

Ketuanya, Datuk Syed Ali Alhabshee berkata, tindakan persatuan itu amat dikesali kerana cuba menggambarkan kerajaan Barisan Nasional (BN) menganaktirikan pembangunan sekolah Cina.

Tambahnya, tanggapan sedemikian hanya satu pembohongan dan berniat mahu menimbulkan keresahan di kalangan masyarakat Cina.

"Tuduhan itu juga amat jahat, tidak berasas dan berniat mahu menimbulkan rasa benci di kalangan masyarakat Cina kepada kerajaan BN yang didokong oleh UMNO," katanya menerusi blog di http://umnobahagiancheras.blogspot.com hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini yang membidas Dong Zong kerana menuduh Kerajaan Pusat meminggirkan sekolah jenis kebangsaan Cina daripada sistem pendidikan negara.

Syed Ali berkata, Dong Zong hanya pandai mengkritik tetapi dalam masa sama tidak mahu mengakui hakikat masyarakat Cina di negara ini sudah lama terbela dan mendapat pelbagai keistimewaan daripada kerajaan BN.

Sehubungan itu katanya, beliau mencabar persatuan tersebut membuktikan mana-mana sekolah Cina di negara ini yang diabaikan kerajaan.

"Tunjukkan mana sekolah Cina yang daif dan dipinggirkan kerajaan, jangan hanya satu dua isu terpencil, sengaja diperbesarkan untuk menjuarai kaum Cina dan melemparkan tuduhan jahat terhadap kerajaan," katanya.

Beliau berkata, persatuan itu sepatutnya melihat dari sudut positif dengan mengambil kira jumlah peningkatan pelajar Cina yang cemerlang dalam pelajaran hasil pembangunan pendidikan disediakan kerajaan BN selama ini.

Katanya, melemparkan tuduhan tidak berasas kerana sentimen perkauman amat mudah apatah lagi jika didorong kepentingan politik pembangkang.

"Jangan cuba ambil kesempatan untuk menyalakan sentimen perkauman menjelang pilihan raya umum akan datang, kita nampak Dong Zong mempunyai agenda tersirat di sebalik dakwaan tersebut," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment