My Add

Tuesday 19 June 2012

Tiada IPU tidak sihat dicatatkan di seluruh negara

KUALA LUMPUR, SELASA, 19 Jun, 2012: Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di 51 stesen seluruh negara hari ini mencatatkan keadaan baik udara sepanjang pemantauan 24 jam Jabatan Alam Sekitar (JAS). 

Menurut kenyataan JAS hari ini, empat kawasan berada pada IPU baik manakala 47 kawasan lagi mencatatkan IPU sederhana pada pukul 11 pagi dan tiada kawasan yang mencatatkan IPU pada tahap tidak sihat.

Kualiti udara menunjukkan lingkaran jerebu sederhana terjadi di pinggir pantai Sumatera Utara dan Tengah, di Selat Melaka serta merangkumi negeri di utara Semenanjung Malaysia.

Punca utama kemerosotan kualiti udara yang dialami di sebelah utara Semenanjung pada pagi ini disebabkan pencemaran jerebu merentas sempadan dari Sumatera, Indonesia. 

Kenyataan itu turut menyebut, imej satelit yang dikeluarkan 'Asean Specialised Meteorological Centre' (ASMC) 18 Jun lepas menunjukkan bilangan titik panas di Sumatera Indonesia meningkat kepada 310 berbanding 163 titik panas berbanding semalam. 

Imej satelit yang dikeluarkan ASMC menunjukkan arah angin barat daya membawa asap jerebu dari kawasan titik panas di Sumatera tengah dan Sumatera utara ke beberapa kawasan di utara pantai barat Semenanjung. 

JAS memaklumkan pihaknya menggerakkan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan dan mengaktifkan Pelan Tindakan Mencegah Pembakaran Terbuka di semua negeri bagi mempertingkat pelaksanaan Prosedur Tetap Operasi (SOP) dalam usaha memantau status kualiti udara di seluruh negara. 

JAS turut mengingatkan orang ramai berhubung Perintah Larangan Terbuka bagi kawasan di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya masih berkuatkasa serta Program Pencegahan Kebakaran Tanah Gambut Yang Mudah terbakar bagi mencegah dan mengawal sebarang punca yang menyumbang kepada kemerosotan kualiti udara tempatan. 

Orang ramai dinasihatkan agar tidak melakukan pembakaran terbuka dan memberikan bekerjasama dengan melaporkan sebarang aktiviti kebakaran kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat di talian 999 dan JAS di talian 1-800-88-2727. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment