My Add

Friday 8 June 2012

Tiada kompromi jika gugat ketenteraman awam - Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 07 Jun, 2012: Kerajaan tidak akan berkompromi malah terus bertindak tegas bagi menepis sebarang ancaman terutamanya yang menggugat ketenteraman rakyat di negara ini.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu ditekankan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sempena Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah baru-baru ini.

Dalam mencapai hasrat tersebut, katanya, kerajaan akan tetap fokus, cekal dan tabah untuk bergerak di atas landasan kebenaran demi kelangsungan ibu pertiwi.

"Kita hendaklah sentiasa menginsafi jerih payah kerajaan mentransformasikan negara dan jangan ada kelompok cuba memusnahkan segala pencapaian demi mengejar kepentingan jangka pendek," katanya berucap pada perhimpunan bulanan kementerian itu di sini hari ini.

Jelas beliau, setiap rakyat perlu bertanggungjawab mempertahankan institusi dan sistem yang telah terbukti memberikan manfaat terhadap kelangsungan kehidupan nasional dan bukannya menimbulkan kesangsian serta ketidakyakinan rakyat terhadap kerajaan.

Sementara itu, Zahid yang juga Naib Presiden UMNO menegaskan, rakyat perlu bijak dalam menilai, khususnya membabitkan janji-janji yang dicanang oleh pihak tertentu dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Ini kerana, katanya, kebanyakan janji yang dibuat jelas bersifat populis dan tidak realistik selain amat diragui seperti mahu menurunkan harga petrol dan menghapuskan hutang pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

"Kerajaan kini memperuntukkan RM2 bilion sebulan bagi tujuan subsidi petrol dan jika harga petrol diturunkan, jumlah itu perlu ditingkatkan antara RM3 bilion hingga RM4 bilion sebulan.

"Janji menghapuskan hutang PTPTN berjumlah RM45 bilion, bayaran tol dan penetapan gaji minimum RM4,000 sebulan juga jelas bersifat populis kerana jika dilaksanakan, akan memberi kesan terhadap kewangan negara," jelasnya.

Beliau berkata, mandat rakyat pada pilihan raya umum akan datang amat penting supaya kerajaan dapat meneruskan usaha melaksanakan segala program transformasi yang dirancang sekali gus matlamat melihat Malaysia sebagai negara berpendapatan tinggi pada 2020 tercapai.

Ahmad Zahid turut menyeru warga kementerian dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) supaya meningkatkan mutu perkhidmatan ke arah memastikan Kementerian Pertahanan mampu mencapai tahap lima bintang dalam penilaian System Star Rating (SSR) bagi 2012. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment