My Add

Tuesday 5 June 2012

Timbalan Ketua PKR Cabang Rasah, 2 lagi didakwa merusuh

KUALA LUMPUR, SELASA, 05 Jun, 2012: Timbalan Ketua Parti Keadilan Rakyat Cabang Rasah R. Tangam, yang didakwa sebelum ini berhubung perhimpunan Bersih 3.0, hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen terhadap pertuduhan tambahan iaitu merusuh pada perhimpunan itu, di Jalan Raja, 28 April lepas.

Peguam kanan Rajesh Kumar Gejinder Nath, 45, dan Exco Angkatan Muda Keadilan (AMK) Farhan Ibrahim @ Alias, 29, yang juga telah didakwa sebelum ini, turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sama.

Mereka didakwa bersama penyokong 'Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 3.0)' yang melebihi lima orang yang masih bebas menentang perintah Majistret Zaki Asyraf Zubir dengan menggunakan kekerasan dan keganasan, semasa perhimpunan itu.

Pada 26 April lalu, Zaki Asyraf mengeluarkan perintah melarang orang awam mengadakan perhimpunan di kawasan Dataran Merdeka pada 28 April hingga 1 Mei lepas.

Tangam, 50, Rajesh Kumar dan Farhan didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Raja, 3 petang, 28 April lalu dan didakwa mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

Bulan lepas, ketiga-tiga mereka didakwa di mahkamah yang sama terhadap pertuduhan melanggar perintah Mahkamah Majistret itu.

Sementara itu, seorang lelaki hari ini turut didakwa terhadap pertuduhan tambahan iaitu menyebabkan kecederaan terhadap wartawan stesen TV Al-Hijrah, Mohd Azri Mohd Salleh, 28, di Jalan Tuanku Abdul Rahman, pada 3.50 petang, 28 April lalu.

Tertuduh, Mohd Safuan Mamat @ Nordin, 25, didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda sebanyak RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Dia yang diwakili peguam Mohd Tajuddin Abd Razak sebelum ini didakwa terhadap dua pertuduhan iaitu merosakkan kenderaan milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan menggunakan sebuah kon dan mendatangkan kecederaan kepada Konstabel Mohamad Kamil Paiman.

Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Hanafiah Zakaria memohon kepada mahkamah agar kes Tangam, Rajesh Kumar dan Farhan dibicarakan bersama.

Hakim Mahmud Abdullah menetapkan 2 Julai ini untuk sebutan semula kes Tangam, Rajesh Kumar dan Farhan dan menetapkan 4 hingga 7 Sept tarikh bicara bagi kes Mohd Safuan.

Barisan pembelaan diwakili peguam Afiq M. Noor mewakili Tangam manakala Rajpal Singh mewakili Rajesh Kumar dan Farhan diwakili Shamsul Iskandar.- BERNAMA

No comments:

Post a Comment