My Add

Saturday 16 June 2012

Tindakan disiplin perlu dikenakan - Ahmad Maslan

PONTIAN, JUMAAT, 15 Jun, 2012: Pas diminta mengambil tindakan ke atas Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang menimbulkan kemurkaan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar ekoran kritikannya terhadap bidaan nombor kenderaan WWW 1 baru-baru ini.

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan (gambar) berkata, sehingga kini tiada sebarang kenyataan yang dikeluarkan oleh pemimpin Pas sama ada menyokong atau tidak bersetuju dengan kritikan pemimpin itu.

Menurutnya, jika Pas tidak bersetuju dengan kenyataan tersebut, tindakan disiplin perlu dikenakan ke atas Mohammad Nizar yang sebelum ini juga pernah mengeluarkan perkataan sembah derhaka terhadap Sultan Perak.

"Sebagai parti dalam pakatan pembangkang yang mendakwa turut mempertahankan institusi raja-raja Melayu, Pas perlu menasihati Mohammad Nizar agar meminta maaf kepada Sultan Johor serta rakyat Johor dengan segera,'' katanya selepas melawat projek pembinaan Sekolah Agama Kampung Seri Pulai, di sini hari ini.

Katanya, jika Pas benar-benar mendokong ketelusan dan integriti seperti tindakan ke atas beberapa pemimpin Pas sebelum ini, tindakan sama juga perlu dibuat ke atas Mohammad Nizar.

Baru-baru ini, kritikan Mohammad Nizar menerusi akaun Twitternya mengenai bidaan nombor WWW 1 dengan nilai RM520,000 oleh Sultan Johor menerima kecaman dan bantahan pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Malah Ahad lalu, kira-kira 30,000 rakyat negeri ini yang terdiri daripada pelbagai kaum berhimpun di pekarangan Istana Pasir Pelangi iaitu kediaman rasmi Sultan Ibrahim untuk menyatakan sokongan dan taat setia kepada baginda.

Ahmad yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, jika Pas boleh memecat pemimpin mereka yang tidak bersetuju mengenai dasar pakatan pembangkang, tiada bezanya dengan Mohammad Nizar yang telah menghina institusi raja-raja Melayu.

"Kepimpinan tertinggi Pas tidak boleh lepas tangan dan membiarkan Mohammad Nizar lepas begitu sahaja tanpa sebarang tindakan disiplin ke atas beliau," katanya.

Katanya, teguran Sultan Johor itu juga perlu menjadi ingatan dan iktibar kepada ahli politik supaya dapat menjaga batas-batas dan tidak terkeluar daripada peradaban yang boleh disifatkan sebagai biadab.

Beliau juga menyifatkan sikap Mohammad Nizar yang menyalahkan media arus perdana seperti Utusan Malaysia dan TV3 dengan mendakwa memutarbelitkan kenyataannya sebagai satu tindakan tidak bertanggungjawab.

"Beliau boleh menyemak satu persatu catatan di dalam Twitter itu, bukan menuduh pihak lain memutarbelitkan kenyataannya dan jangan bersikap seperti lempar batu sembunyi tangan," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment