My Add

Wednesday 20 June 2012

Usahawan ECER digesa mohon dana RM100j

*NOR Mohamed Yakcop (dua dari kiri) beramah mesra dengan penerima bantuan selepas merasmikan Jejak 2012 serta Inisiatif Teraju di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sultan Ahmad Shah di Kuantan, Pahang, semalam.

KUANTAN, SEELASA, 19 Jun, 201: Para usahawan bumiputera di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) digesa memohon peruntukan Dana Mudah Cara yang disalurkan oleh Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) sebanyak RM100 juta sempena pelancarannya di sini hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata, peruntukan tersebut bertujuan meningkatkan ekonomi bumiputera dalam pelbagai aktiviti perniagaan di negeri-negeri terlibat di bawah wilayah itu.

Menurut beliau, dana berkenaan akan disalurkan dalam tempoh dua bulan bagi membolehkan mereka yang terlibat memohon untuk memajukan lagi perniagaan masing-masing.

"Justeru, sebuah Pusat Sehenti akan ditubuhkan di pejabat Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) di sini untuk menghubungkan usahawan bumiputera tempatan di wilayah ini dengan agensi kerajaan lain yang bertanggungjawab dalam pembangunan usahawan.

"Sasaran kita ialah ekonomi yang dibangunkan di wilayah itu akan menjana pulangan antara RM600 hingga RM700 juta pada masa akan datang," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Jejak 2012 serta Inisiatif Teraju di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sultan Ahmad Shah di sini.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Muhammad Safian Ismail dan Ketua Eksekutif Teraju, Husni Salleh.

Nor Mohamed berkata, selain itu pihaknya turut menggalakkan usahawan terlibat menceburi sektor pelancongan, pertanian dan petrokimia memohon dana tersebut kerana ia berpotensi dapat menjana ekonomi ke tahap yang lebih baik.

Beliau memberitahu, Teraju bersama agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan swasta akan mendekati usahawan tempatan dalam menyampaikan mesej Hala Tuju Transformasi Ekonomi Bumiputera.

Dalam pada itu beliau memberitahu, Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (YPPB) telah memberikan biasiswa kepada 210 pelajar cemerlang bagi melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi dalam pelbagai bidang.

Jelasnya, pemilihan penerima biasiswa tersebut dibuat berdasarkan kesukaran mereka menyambung pengajian khususnya golongan berpendapatan rendah dan miskin.

"Jumlah biasiswa itu diberi berdasarkan bidang pengajian yang diikuti mereka dan diharap ia dapat membantu golongan tersebut supaya sesi pembelajaran tidak terjejas," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment