My Add

Thursday 21 June 2012

Warkah kepada Allahyarham Tan Sri Mohamed Noah Omar

                          *Mohamed Noah Omar

Warkah ini diutus
Dengan penuh hormat dan takzim
Dengan penuh kasih sayang dan segala rasa kagum
Diutus kepada
Allahyarham Tan Sri Mohamed Noah Omar

Yang telah berpulang ke rahmatullah

Dan sedang bersemadi di alam barzakh

Yang semasa hidupnya di dunia fana

Terus menerus menabur bakti dan jasa

Kepada masyarakat dan bangsa

Serta tanah air dan negara Malaysia

Warkah ini diutus oleh seorang zuriat kepada seorang leluhur

Diutus dengan penuh tertib dan adab sopan

Sebagai lafaz terima kasih dan rasa syukur

Atas segala jasa dan warisan

Diutus dengan ketinggian tamadun satu bangsa

Menjunjung adab, menjunjung adat, menjunjung ilmu dan kebijaksanaan menghargai jasa dan perjuangan.

Warkah ini diutus untuk mencatatkan jasa-jasa terpilih

Dan puncak-puncak kerjaya seorang anak watan

yang lahir di daerah Muar, Johor Darul Takzim

Yang melalui zaman-zaman remaja di perantauan mengisi dada dan minda

Dengan iman dan ilmu pengetahuan

Dan kemudian di usia dewasa

Jiwa raganya dibakar semangat api perjuangan

Mempelopori penubuhan sebuah wadah

Persatuan Kebangsaan Melayu Bersatu - PEKEMBAR

Yang masyhur dengan panggilan UMNO

Yang telah berjaya menghancurkan

Rancangan jahat Malayan Union

Yang telah berjaya mengembalikan kedaulatan

Bangsa Melayu dan Baginda-baginda Sultan

Yang telah berjaya melahirkan sebuah negara baru

Berdaulat dan merdeka: Persekutuan Tanah Melayu

Berkembang makmur dan membesar menjadi Malaysia

Seterusnya pada usia yang semakin matang

Nenda kami Tan Sri Mohamed Noah Omar

Berdiri gagah sebagai tiang seri demokrasi

Bersemayam di kerusi Yang Dipertua Dewan Rakyat

Speaker pertama Parlimen negara merdeka yang berdaulat.

Adil dan bijaksana, serta petah

Mengawal para Yang Berhormat berhujah dan berdebat

Masyhur dengan sense of humour

Disegani dan dihormati oleh semua MP atau YB

Sama ada di pihak kerajaan atau di sebelah oposisi.

Warkah ini diutus untuk merakamkan satu kekaguman

Kekaguman terhadap prestasi dan keunggulan peribadi

Seorang tokoh mithali: Nenda kami Tan Sri Mohamed Noah yang dikasihi

Yang memiliki jalur-jalur jalinan watak yang menakjubkan

Jalinan adat Melayu dengan akidah Islam

Jalinan ilmu yang tinggi dengan amal yang soleh

Jalinan akal rasional dengan akhlak yang mulia

Jalinan nilai-nilai tradisi dengan peralihan zaman

Serta jalinan sikap tegas dan ihsan kemanusiaan.

Jalinan-jalinan yang menakjubkan itu tersulam

Bagai sutera pelangi yang amat cantik dan halus

Menghiasi halaman-halaman sejarah watan

Indah dan mempesona bagai taman firdaus.

Jalur-jalur watak yang menakjubkan itu

Kami sanjung dan kami kagumi

Kami jadikan tauladan dan sumber inspirasi

Kami jadikan cabaran dan tanggungjawab

Untuk melanjutkan perjuangan dan khidmat bakti

Demi keperkasaan bangsa, agama dan tanah air.

Warkah ini diutus dengan penuh kesedaran dan rasa tanggungjawab

Sebagai lafaz ikrar serta azam dan hasrat untuk melanjutkan tradisi berkhidmat dan berbakti

Yang telah dirintis dan diwariskan

oleh nenda kami Tan Sri Mohamed Noah Omar.

Jasamu sebagai pemimpin dan pejuang

Akan tetap dikenang

Nenda telah memberi contoh dan tauladan

Sifat-sifat unggul yang terpuji

Semuanya itu kami terima

Sebagai warisan

Sumber inspirasi dan pedoman perjuangan

Yang akan kami wariskan pula

Kepada generasi sesudah kami

Demi kesinambungan perjuangan

Dan khidmat bakti

Meneruskan semangat berkhidmat

Untuk kesejahteraan rakyat

Dan ketenteraman dunia sejagat


No comments:

Post a Comment