My Add

Wednesday 20 June 2012

Wujudkan kaedah belajar ICT untuk semua lapisan masyarakat

*RAIS Yatim (dua dari kanan) menyampaikan cenderamata kepada Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kesenian Singapura, Dr. Yaacob Ibrahim (kiri) di Pavilion Malaysia sempena CommunicAsia 2012, Singapura, semalam. - BERNAMA

SINGAPURA, SELASA, 19 Jun, 2012: Satu kaedah pembelajaran mengenai sistem teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang bersesuaian untuk semua lapisan umur dan masyarakat perlu diwujudkan sebagai pelengkap kepada usaha kerajaan menggalakkan penggunaannya kepada rakyat di Malaysia.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, fasa pertama berbentuk pengagihan peralatan seperti netbook dan penyediaan prasarana berjaya dilaksanakan secara berperingkat di seluruh negara.

Sehubungan itu katanya, kini tiba masanya pihak yang berkaitan seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) merangka satu modul berbentuk pengajaran bagi memastikan kemudahan ICT dapat difahami dan dimanfaatkan sepenuhnya terutama oleh masyarakat luar bandar.

"Jadi yang penting kini, kita harus memberi pengajaran kepada penghuni kampung kita bagaimana mereka perlu mengubah sikap dan belajar walaupun sudah berumur, berhubung dengan komputer, penggunaan Internet dan jalur lebar dan cara-cara untuk memanfaatkan perkara-perkara ini," katanya kepada pemberita selepas menyertai delegasi Forum Menteri-Menteri Teknologi Maklumat dan Komunikasi melawat pavilion CommunicAsia 2012 di Marina Bay Sands Exhibition Centre di sini, hari ini.

Malah langkah itu juga tepat memandangkan sasaran kerajaan untuk mewujudkan 3,100 Kampung Tanpa Wayar sehingga hujung tahun ini berbanding pada masa sekarang dengan jumlah 1,400 lokasi seumpamanya.

Berucap ketika merasmikan Pavilion Malaysia sempena CommunicAsia 2012 di sini, beliau berkata, langkah kerajaan menerapkan aplikasi teknologi maklumat di kalangan rakyat ternyata berjaya mengurangkan jurang digital antara penduduk luar bandar dan bandar secara berperingkat.

Ini sekaligus meningkatkan penembusan jalur lebar dan penggunaan selular di seluruh negara, katanya.

Bermula dengan pelaksanaan Inisiatif Jalur Lebar Negara oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Mac 2010 ia diikuti pengagihan satu juta netbook 1Malaysia, seterusnya mewujudkan Kampung Tanpa Wayar 1Malaysia dan Pusat Internet 1Malaysia.

Rais berkata, berbanding hanya 11 peratus kadar penembusan jalur lebar pada 2006, kini ia meningkat kepada 63.4 peratus.

Malah langganan selular turut melonjak 127 peratus iaitu daripada 19.5 juta kepada 37 juta dalam tempoh yang sama.

Menurut Rais, ia secara tidak langsung memberi kesan positif kepada pertumbuhan sektor ekonomi luar bandar sejajar dengan matlamat 1Malaysia.

"Bagaimanapun, perhubungan hanya satu saluran yang perlu diikuti dengan pendidikan, peningkatan ekonomi dan peluang memperkasa aspek sosial bagi mewujudkan tranformasi ekonomi di luar bandar, dan yang paling penting, perubahan positif setiap rakyat Malaysia melalui penggunaan ICT dan jalur lebar dalam meralisasikan matlamat 1Malaysia.

"Di sebalik statistik dan angka, ia menggambarkan kejayaan mereka dalam mengharungi halangan untuk meningkatkan gaya hidup dengan bantuan ICT dan teknologi jalur lebar," katanya.

Dalam pada itu, Rais turut menekankan kepentingan kerjasama dengan negara jiran bagi memanfaatkan kemudahan teknologi komunikasi kepada rakyat masing-masing.

Sebagai contoh, beliau berkata sejak dua tahun lepas warga Malaysia menikmati kadar perayauan yang lebih rendah ketika berada di Singapura dan juga sebaliknya.

Oleh itu, kerjasama ini akan diteruskan dengan negara-negara serantau yang lain. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment