My Add

Monday 25 June 2012

Yayasan Kartunis 1Malaysia diwujudkan

*Najib Tun Razak menyampaikan Anugerah Kartunis Sepanjang Hayat kepada kartunis, Mohammad Nor Khalid atau lebih dikenali sebagai Lat pada majlis ramah mesra bersama kartunis di Pasar Budaya, Kuala Lumpur, semalam. Turut hadir Sohaimi Shahadan (kiri) dan Abdul Azeez Abdul Rahim (dua, kanan).

KUALA LUMPUR, AHAD, 24 Jun, 2012: Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan penubuhan Yayasan Kartunis 1Malaysia bagi memajukan industri kartun dan animasi tempatan selain kebajikan para penggiat bidang berkenaan.

Perdana Menteri berkata, yayasan itu juga bertujuan menghargai peranan, sumbangan serta jasa para kartunis dalam membantu membangunkan perpaduan masyarakat melalui karya masing-masing.

Beliau turut mengumumkan peruntukan dana permulaan RM300,000 kepada yayasan itu yang disampaikan melalui Kelab Putera 1Malaysia (KP1M).

Katanya, para kartunis yang kebanyakannya kini telah mengubah wacana mereka kepada bidang animasi, berperanan penting dalam pembinaan negara bangsa dengan menerapkan mesej perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dan agama.

"Tentu sekali bila saya ungkapkan Gagasan 1Malaysia, saya mahu para kartunis dapat menerapkan mesej 1Malaysia dan agenda transformasi negara di dalam karya mereka," katanya.

Beliau berucap pada Pameran Kartun dan Animasi 1Malaysia 2012 yang julung kali diadakan di pekarangan Pasar Seni, di sini hari ini.

Turut hadir Exco Pemuda UMNO, Datuk Sohaimi Shahadan dan Presiden Kelab Putera 1Malaysia, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim.

Acara anjuran bersama Konsortium Cartoonist At Work (CAW) dan KP1M itu direkodkan dalam Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai Perhimpunan Terbesar Kartunis di negara ini, dengan mengumpulkan 356 orang penggiat bidang berkenaan.

Sementara itu, Perdana Menteri turut menyampaikan pelbagai hadiah sempena pameran dua hari berkenaan, termasuk 11 anugerah dalam bidang tersebut.

Kartunis Datuk Mohammad Nor Khalid atau Lat, yang dikenali melalui karya The Kampung Boy dianugerahkan Kartunis Sepanjang Zaman.

Turut menerima anugerah ialah 10 lagi kartunis dan animator termasuk Mior Sariman Mior Hassan bagi kategori Pencetus Revolusi Kartun; Jaafar Taib (Kartunis Dedikasi); Hassan Abd. Muthalib (Bapa Animasi Malaysia); Tan Sri Lim Kok Wing (Karyawan Inovatif) dan Reggie Lee (Kartunis Masyarakat Malaysia). - UTUSAN

No comments:

Post a Comment