My Add

Saturday 21 July 2012

2 banduan Indonesia dapat pengampunan

POKOK SENA, SABTU, 21 Julai, 2012: Dua banduan warga negara Indonesia yang dijatuhkan hukuman penjara sepanjang hayat yang menghuni penjara Pokok Sena di sini dibebaskan selepas mendapat pengampunan daripada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar. 

Mansur Tahir, 50, dan Salleh @ Mon Mion, 43, adalah antara lapan banduan lain yang turut sama mendapat pengampunan daripada Sultan Ibrahim yang diumumkan Rabu lalu.

Mansur yang berasal dari Sumbawa, Bali, Indonesia, yang menjalani hukuman selama 30 tahun berkata, dia amat bersyukur kepada Allah atas kurniaan ini dan berterima kasih kepada Sultan Ibrahim yang memilihnya termasuk dalam senarai pengampunan. 

Katanya, ini peluang kedua baginya untuk meneruskan kehidupan seperti orang lain di samping keluarga tersayang terutamanya pada Ramadan yang mulia ini dan perayaan Aidilfitri yang bakal menjelma tidak lama lagi. 

"Apabila warden penjara memaklumkan perkara itu, saya terkejut dan rasa seolah-olah tidak percaya dengan berita gembira itu. Syukur kepada Allah dan menjunjung kasih kepada Sultan Johor," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Penjara Pokok Sena, di sini hari ini. 

Mansur yang dipenjara ketika berusia 20 tahun berkata, perkara utama yang akan dilakukan setelah pulang ke kampung halamannya ialah untuk menziarahi kubur bapanya serta anggota keluarga yang lain. 

Katanya, dengan kemahiran menjahit yang dipelajari sepanjang berada di penjara, dia akan bekerja mengambil upah menjahit baju bagi mendapatkan rezeki halal untuk meneruskan kehidupan di luar yang makin mencabar. 

Mansur yang sebelum ini bekerja sebagai buruh ladang dijatuhi hukuman penjara seumur hayat dan enam sebatan atas kesalahan rompakan dan menunjukkan senjata api di bawah Seksyen 4 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971. 

Bagi Salleh yang dipenjara ketika berusia 17 tahun berkata, ini saat paling berharga baginya untuk bersama-sama menyambut Ramadan dan hari raya Aidilfitri bersama keluarga dan saudara yang lain di Indonesia. 

Dia yang pernah bekerja sebagai buruh binaan berkata berasa amat sedih setiap kali menyambut Ramadan dan hari raya tanpa keluarga tercinta kerana berada dalam penjara. 

Salleh menjalani hukuman selama 26 tahun setelah dijatuhi hukuman penjara seumur hayat dan 10 sebatan atas kesalahan rompakan dan melepaskan tembakan di bawah Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti lebih berat) 1971. 

Dia juga turut menasihatkan masyarakat terutamanya warga Indonesia yang datang bekerja di negara ini agar tidak melakukan jenayah yang boleh menyebabkan mereka meringkuk dalam penjara sepertinya. 

Katanya, dia akan menceritakan pengalaman pahitnya sepanjang menjalani hukuman di penjara sebagai pengajaran kepada orang ramai agar dapat menghindarkan diri daripada jenayah. 

Sementara itu, Pengarah Penjara Pokok Sena, Zawari Abd Rashid, berkata kedua-dua banduan itu akan dibebaskan esok selepas proses dokumentasi mereka yang dibuat oleh Jabatan Imigresen Malaysia dan Konsulat Indonesia di Pulau Pinang selesai. 

Katanya, proses penghantaran kedua-dua banduan tersebut akan diuruskan pegawai dari Konsulat Indonesia di Pulau Pinang. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment