My Add

Wednesday 18 July 2012

3 terbunuh, 6 parah serangan di kem tentera Narathiwat

BANGKOK, RABU, 18 Julai, 2012: Tiga orang termasuk seorang anggota tentera, terbunuh manakala enam lagi parah selepas 30 lelaki bersenjata yang memakai pakaian seragam tentera dilengkapi jaket kalis peluru, menyerang sebuah kem tentera di Ruesor, Narathiwat, semalam. 

Ketua polis Reusor, Kolonel Dulyaman Yaena, berkata penyerang yang bersenjatakan M16, AK47 dan M79 melakukan serang hendap di Platun ke-3 Senjata Ringan dari Pasukan Petugas Kompeni Infantri ke-15123 kira-kira jam 6.50 petang. "Kejadian berbalas tembakan berlaku kira-kira 10 minit antara penyerang dan pasukan tentera," katanya. 

Mangsa yang terkorban ialah Prebet Sarawut Minsayom dan dua orang awam iaitu seorang lelaki Inheng Saekoo serta seorang wanita Hew Royprawitrat. 

Empat daripada enam orang yang cedera adalah anggota tentera yang dikenal pasti sebagai Sarjan Jakkrawan Puangrangsri, Prebet Montri Promma, Prebet Suranunt Tongkieng dan Prebet Wanchai Suksatien. 

Dua orang awam yang cedera pula ialah Suding Yuso dan Nitisak Kwanwichan. 

"Kami percaya ada antara penyerang cedera berdasarkan kesan darah yang ditemui di jalan raya," katanya. 

Beliau berkata, penyerang turut menebang pokok dan membakar tayar di jalan raya menuju ke kem itu sebagai usaha melengahkan penghantaran bantuan ke kem. 

Lebih 5,000 orang terkorban sejak puak disyaki pemisah meneruskan kempen bersenjata mereka untuk mendapatkan kemerdekaan bagi tiga wilayah di selatan iaitu Narathiwat, Pattani dan Yala lapan tahun lalu. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment