My Add

Wednesday 18 July 2012

5,352 penyewa flat selesai pembelian

KUALA LUMPUR, SELASA, 17 Julai, 2012: Seramai 5,352 penyewa rumah flat di bawah Program Perumahan Rakyat (PPR) Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) dan Perumahan Awam Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur (DBKL) telah menyelesaikan urusan pembelian rumah PPR masing-masing.

Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata, kerajaan sebelum ini telah meluluskan penjualan 44,146 unit rumah flat di bawah program berkenaan dan dijual kepada penyewa melalui proses pembelian biasa dan bukannya sewa beli.

"Setakat 31 Mei lalu, sebanyak 5,352 penyewa daripada 37,133 unit rumah yang ditawarkan telah menyelesaikan proses pembelian.

"Sebanyak 11,823 penyewa lagi telah memberi maklum balas untuk kekal menyewa," katanya menjawab pertanyaan lisan Senator Datuk Syed Ibrahim Kader pada sidang Dewan Negara hari ini.

Dalam pada itu, menurut Nong Chik, sehingga 21 Jun lalu, seramai 4,466 penyewa bersetuju menerima tawaran skim pembiayaan khas dan seramai 4,194 permohonan telah dihantar kepada Syarikat Perumahan Wilayah Persekutuan (SPWP).

Katanya, surat tawaran skim fasa kedua melibatkan 10,798 penyewa juga telah diedarkan secara berperingkat oleh DBKL.

"Kerajaan berharap skim penjualan perumahan ini akan memberi peluang yang lebih baik kepada rakyat khususnya di ibu negara untuk memiliki rumah sendiri, seterusnya mencapai hasrat kerajaan ke arah merealisasikan matlamat Satu Keluarga, Satu Rumah," jelasnya.

Menjawab soalan tambahan Syed Ibrahim sama ada DBKL membantu memberikan pinjaman kepada penyewa atau pemohon, Nong Chik memberitahu, DBKL tidak terlibat dalam perkara itu bagi mengelakkan wujudnya konflik khususnya berunsur politik. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment