My Add

Saturday 7 July 2012

Agong lancar program pemeriksaan kesihatan bergerak YSB

ALOR SETAR, SABTU, 07 Julai, 2012:: Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah hari ini berangkat ke Karnival Amal Hari Penyayang 2012 anjuran Yayasan Sultanah Bahiyah (YSB) di Stadium Darul Aman di sini, hari ini. 

Seri Paduka turut melancarkan Projek Pemeriksaan Bergerak iaitu program pemeriksaan kesihatan percuma untuk rakyat negeri Kedah terutama yang tinggal di luar bandar.

Projek ini hasil usahasama pintar antara YSB, Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan (NKF) dan Kumpulan Sunway. 

Ketika berucap pada majlis itu, Pengerusi YSB, Tunku Panglima Besar Kedah, Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Tuanku Abdul Halim, berkata program itu membabitkan perbelanjaan RM500,000 setahun bertujuan mendidik orang ramai mengenai kepentingan penjagaan kesihatan. 

"Karnival selama tiga hari ini bermula semalam bertujuan menjana kewangan YSB bagi melaksanakan program ini untuk memberi perkhidmatan pemeriksaan kesihatan percuma seperti kencing manis, tekanan darah, ujian air kencing dan rawatan ringan," katanya. 

Terdahulu, keberangkatan tiba Tuanku Abdul Halim di Stadium Darul Aman disambut Jemaah Pemangku Sultan Kedah diketuai pengerusinya, Tunku Annuar Sultan Badlishah serta Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak. 

Seri Paduka kemudian menyertai senamrobik bersama kira-kira 5,000 peserta kayuhan amal basikal dan larian amal sebelum melepaskan acara kayuhan amal basikal serta menyertai acara walkathon amal kategori orang kenamaan. 

Program tiga hari itu yang bermula semalam dimeriahkan dengan acara antaranya pertandingan futsal, ayam serama, suara burung eksotik, pameran permotoran, larian amal, kayuhan amal, kempen menderma darah, peraduan melukis dan mewarna, gerai jualan, cabutan bertuah dan persembahan hiburan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment