My Add

Sunday 8 July 2012

AMANAH tawar debat kerajaan Terengganu, pembangkang

KUALA TERENGGANU, AHAD, 08 Julai, 2012: Angkatan Amanah Merdeka (AMANAH) Terengganu hari ini menyarankan satu sesi debat diadakan di antara kerajaan Terengganu dan pembangkang di negeri itu bagi merungkai isu tempatan.

Pengerusinya, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah, berkata AMANAH sedia menjadi penganjur bagi memberi ruang kedua-dua pihak menjawab pelbagai isu yang menjadi bualan penduduk Terengganu sekarang.

"Saya banyak menerima soalan daripada orang ramai mengenai isu-isu yang perlu penjelasan dari pihak kerajaan dan pembangkang dan atas dasar inilah kami mahu mengadakan debat isu semasa untuk kali pertamanya di peringkat negeri sebagai perintis kepada usaha ini," katanya pada sidang media di sini. 

Beliau berkata, AMANAH juga sudah menghantar surat jemputan kepada Menteri Besar selaku Pengerusi Barisan Nasional negeri, Datuk Seri Ahmad Said, dan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Abdul Wahid Endut, dan berharap kedua-dua pihak terbuka menerima pelawaan itu.

"Ini juga akan memberi peluang kedua-dua belah pihak menjelaskan hala tuju parti masing-masing dan juga membentang manifesto mereka sambil membahaskan isu-isu semasa lain," katanya.

Beliau berkata, AMANAH berpandangan debat satu kegiatan sihat kerana pelbagai isu dapat dirungkai seperti ketika debat antara Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, dan bekas Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat, Mohd Rafizi Ramli.

Debat juga, katanya, peluang bagi parti-parti politik di negara ini menunjukkan kematangan masing-masing khususnya menjelang pilihan raya umum ke-13.
AMANAH adalah badan bukan kerajaan yang ditubuh Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah, pada Julai tahun lalu bertujuan menjadi platform pelbagai pihak menyuarakan pandangan terhadap isu yang dibangkit rakyat tanpa mengira fahaman politik. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment