My Add

Saturday 7 July 2012

Anwar suap berita pada media Indonesia

BAGAN DATOH, 06 Julai, JUMAAT, 06 Julai, 2012: Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, beberapa berita negatif mengenai Malaysia yang disiarkan media Indonesia telah disumbangkan oleh Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu mempunyai kenalan di Indonesia termasuk dalam kalangan pengamal media yang membolehkannya menyalurkan berita negatif mengenai Malaysia.

"Selama ini gambaran yang diberikan kepada media Indonesia datang daripada Anwar. Berita-berita negatif (mengenai Malaysia) disumbangkan oleh Anwar, padahal apa yang (sebenarnya) berlaku (di Malaysia) tidak sebegitu keadaannya," katanya kepada pemberita selepas majlis pecah tanah projek jalan dari Kampung Sungai Dulang ke Kampung Sungai Ipil di sini, hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden UMNO berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai lawatannya bersama Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ke Jakarta, Indonesia Selasa lalu.

Kata beliau, Anwar tidak sepatutnya memberikan gambaran negatif mengenai Malaysia kepada media Indonesia kerana ia boleh mencetuskan kekeliruan di antara kedua-dua negara.

Ahmad Zahid berkata, pada lawatan itu rombongan pemimpin UMNO itu termasuk Muhyiddin turut mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan Ketua Umum Parti Golkar, Aburizal Bakrie.

Katanya, lawatan pemimpin Umno itu merupakan kunjungan balas kepada pemimpin parti Golkar yang pernah datang ke Malaysia sebelum ini.

Beliau berkata, setakat ini UMNO mempunyai hubungan erat dengan empat parti politik terbesar di Indonesia iaitu Parti Demokrat, Golkar, Parti Demokrasi Indonesia-Perjuangan (PDI-P) dan Parti Keadilan Sosial Indonesia.

Mengenai projek jalan itu, Ahmad Zahid yang juga ahli Parlimen Bagan Datoh berkata, kerajaan memperuntukkan RM13 juta bagi fasa pertama membaik pulih jalan sepanjang 10.3 kilometer itu yang akan bermula 1 Ogos ini dan dijangka siap pada Jun 2014.

Katanya, fasa kedua projek baik pulih jalan di kawasan ini dijangka dimulakan pada pertengahan tahun depan dan dijangka siap sepenuhnya pada 2016. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment