My Add

Thursday 5 July 2012

APMM tahan tujuh kapal berlabuh di kawasan larangan

JOHOR BAHRU, 05 Julai, 2012: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Selatan menahan tujuh buah kapal dengan 82 anak kapal kerana disyaki berlabuh di kawasan larangan bersauh di perairan Pengerang, Kota Tinggi dua hari lepas.

Ketua Penguatkuasa Maritim Wilayah Selatan Laksamana Pertama Maritim Adon Shalan berkata, sebuah bot tunda dan enam kapal tangki itu ditahan ketika agensi berkenaan melakukan satu operasi khas antara 12 tengah hari dan 2.30 petang.

Katanya anak kapal yang ditahan itu terdiri daripada 54 warga Indonesia, 14 Myanmar, 12 Thailand dan dua rakyat China.

Antara kesalahan lain yang dilakukan ialah berlabuh tanpa kebenaran dan gagal melaporkan ketibaan kapal kepada Ketua Pengarah Jabatan Laut.

"Kesemua kapal yang ditahan akan disiasat kerana gagal mematuhi peraturan, undang-undang dan juga didapati menghalang laluan kapal-kapal yang melalui perairan tersebut," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Adon berkata, jika tidak dicegah, kehadiran kapal-kapal itu boleh mengundang bahaya seperti berlaku perlanggaran antara kapal, kehilangan nyawa dan tumpahan minyak yang menyebabkan pencemaran di laut.

Beliau berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 491B (1)(l) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana berlabuh di kawasan larangan bersauh. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment