My Add

Monday 9 July 2012

ASEAN boleh jadi contoh terbaik

KUALA LUMPUR, AHAD, 08 Julai, 2012: ASEAN boleh menjadi contoh terbaik mengenai keteguhan semangat kerjasama dan komuniti yang diperlukan untuk mencapai keamanan dunia, kata Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, walaupun anggota negara ASEAN mempunyai perbezaan hingga kadangkala mencetuskan pertelingkahan dan tidak selalunya sekata tentang sesuatu perkara tetapi komitmen mereka terhadap pertubuhan itu tidak pernah menyimpang dan sentiasa memastikan sebarang perbezaan pendapat antara mereka tidak menggugat kepentingan serantau.

"Seperti dalam hal lain, membina sesebuah organisasi memerlukan kesabaran dan ketekunan. Tetapi, hasilnya besar dan malah tidak ternilai harganya kerana ia membantu memastikan kita menikmati keamanan dan kestabilan yang diperlukan untuk maju," katanya ketika berucap pada Forum Keamanan Sedunia di Tsinghua University di Beijing, China hari ini.

Teks ucapan beliau diedar di sini.

Forum dua hari itu yang bertemakan "Menang-Menang Untuk Semua: Keamanan, Keselamatan dan Kerjasama", dirasmikan Naib Presiden China, Xi Jinping pagi ini.

Abdullah berkata, ASEAN tidak mementingkan diri dan hanya mengambil berat tentang keselamatannya semata-mata tetapi juga mewujudkan ruang untuk memupuk keamanan di luar rantau ini melalui hubungannya dengan rakan dialog seperti China, India, Rusia dan Amerika.

"Badan lain seperti Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik juga memainkan peranan penting ke arah menyatukan kita dalam menangani isu kepentingan bersama agar tidak wujud ruang yang mendorong ke arah tercetusnya perbalahan," kata beliau.

Abdullah juga memuji China kerana sumbangan negara itu dalam mewujudkan keamanan dunia sejak tiga dekad lepas, terutama melalui pembaharuan ekonomi yang dilaksanakannya dan penyatuan negara itu dalam komuniti antarabangsa.

Beliau berkata, berikutan peningkatan kemampuannya dari segi ekonomi, strategi dan politik, China bertanggungjawab menggunakan kuasa yang datang bersama semua itu secara sah dan membina.

"Kepentingan China kini semakin tidak dapat dipisahkan daripada komuniti antarabangsa secara menyeluruh. Dalam hubungan ini, melalui kesabaran dan kehalusan diplomasi ke arah keamanan, dengan membantu orang lain menghapuskan halangan dan membina kemajuan seperti yang dilakukan untuk dirinya sendiri, China boleh melakukan banyak perkara untuk mencipta suasana menang-menang untuk semua," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment