My Add

Thursday 19 July 2012

Azizan nafi tekan pegawai tadbir negeri

ALOR SETAR, RABU, 18 Julai, 2012: Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak menafikan wujudnya gerakan untuk memberi tekanan kepada pegawai-pegawai Perkhidmatan Pegawai Tadbir Negeri Kedah (KCS) yang menyokong Barisan Nasional (BN).

Menurutnya, beliau tidak mempunyai kuasa untuk mengarahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat para pegawai KCS bagi mencari kesalahan yang dilakukan oleh mereka.

"Tak betul dakwaan itu, sebab saya bukan taraf Perdana Menteri untuk mengarahkan SPRM siasat orang.

"Kami kerajaan datang dan pergi tetapi pegawai kerajaan tetap kekal. Yang patutnya pegawai kerajaan yang tekan kerajaan, bukan kami yang tekan pegawai," katanya di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Beliau mengulas kolum Cuit Utusan Malaysia tulisan Datuk Zaini Hassan yang mendakwa wujudnya gerakan terancang untuk memberi tekanan kepada pegawai KCS yang menyokong BN.

Zaini yang juga Penolong Ketua Pengarang 1 Kumpulan Utusan menyatakan, Azizan didakwa telah mengadakan mesyuarat di markas Pas baru-baru ini bagi membincangkan perancangan untuk mengenakan tindakan terhadap pegawai KCS yang menyokong BN.

Kolum itu turut menyebut, Azizan dikatakan telah mengarahkan SPRM supaya menyiasat salah laku dan menyelongkar fail-fail membabitkan pegawai-pegawai daerah bagi mencari salah laku mereka.

Menurut Azizan, beliau juga tidak tahu sama ada terdapat pegawai-pegawai KCS yang dipanggil oleh SPRM untuk disoal siasat.

"Saya tak tahu, tanya Setiausaha Kerajaan Negara, sebab dia ketua pegawai KCS," jelasnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment