My Add

Tuesday 10 July 2012

Badan kehakiman perlu dihormati, bukan dihina

KOTA BHARU, ISNIN, 09 Julai, 2012: Semua pihak boleh memberikan pandangan masing-masing terhadap badan kehakiman negara atau sebarang keputusan penghakiman tetapi bukan sehingga peringkat menghina institusi itu.

Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria,berkata seperti di negara luar contohnya England, mereka bebas memberikan pandangan sedemikian kerana secara tidak langsung ia boleh memberi penambahbaikan kepada sistem perundangan yang ada.

"Memberi pandangan ini adalah bagus dan ini boleh membantu kita develop undang-undang kita. Anda juga boleh menulis tetapi jangan sampai menghina mahkamah umpamanya. 

"Kami terbuka dan kritikan ini perkara biasa dan banyak kita dengar keputusan mahkamah, ada yang katakan tidak logik atau sebagainya. Buktikan kalau kata keputusan hakim tidak adil, berpihak atau rasuah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Majlis Hakim-Hakim Malaysia Ke-46 di sini hari ini.

Hadir sama Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Raus Sharif, Hakim Besar Malaya Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinuddin dan Hakim Besar Sabah dan Srawak Tan Sri Richard Malanjum.

Arifin berkata sebagai hakim, mereka tidak boleh mempertahankan diri terhadap tuduhan sedemikian dan ia sesuatu yang tidak adil kepada para hakim.

"Saya minta kritik yang betul dan bukannya secara emosi. Jangan kata oh kita ini bodoh, stupid judgement. Bagi tahu mana stupid...Saya sebagai judge tidak boleh mempertahankan diri kerana saya hanya boleh bercakap melalui penghakiman sahaja. Saya tidak boleh menjawab atau berdebat," katanya.

Beliau berkata pihaknya sentiasa memperbaiki persepsi pelbagai pihak dan sebab itu persidangan sedemikian adalah landasan terbaik untuk mereka memperbaiki sebarang kelemahan yang ada.

Beliau berkata apa yang membanggakan, banyak pihak datang menyatakan tahap kepuasan hati mereka dengan kes-kes membabitkan bidang perdagangan yang dapat diselesaikan dengan sempurna.

"Mereka puas hati bukan sahaja terhadap bidang kehakiman tetapi juga terhadap kes-kes yang telah diselesaikan. Kami boleh memberi jaminan setiap kes itu boleh diselesaikan dalam tempoh setahun sekurang-kurangnya dan apa yang berlaku itu adalah satu rekod di peringkat antarabangsa," katanya.

Mengulas kenyataan bekas Ketua Hakim Negara Tun Zaki Azmi bahawa Perdana Menteri dan Menteri Kabinet tidak pernah memberikan arahan kepada badan kehakiman negara, beliau berkata kenyataan itu adalah benar.

"Saya sebagai Ketua Hakim Negara mengesahkan kenyataan itu adalah tepat. Memang tidak ada. Saya selalu ingatkan hakim agar serlahkan keputusan yang meyakinkan rakyat," katanya.

Menurutnya badan kehakiman adalah badan bebas dan tidak pernah sama sekali mencampur adukkan soal kehakiman dan badan eksekutif.

Semalam, Zaki meminta semua pihak berhenti menuduh badan eksekutif campur tangan dalam urusan badan kehakiman.

Selain itu Arifin turut meminta para peguam meningkatkan kualiti guaman masing-masing walaupun mereka bebas menceburi bidang lain termasuk politik dan berpendapat masih ada ruang untuk mereka memperbaikinya.

Mengulas mengenai persidangan itu, Arifin berkata ia bagi para hakim bertukar pandangan demi memartabatkan institusi badan kehakiman yang dihadiri 120 hakim seluruh negara. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment