My Add

Monday 9 July 2012

Belia dinasihat guna saluran betul

*ROSMAH Mansor dan Mohd. Ali Rustam serta kenamaan lain bergambar dengan hadirin Majlis Penutup Konvensyen Pemikir Muda Malaysia di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Shah Alam, kelmarin. - UTUSAN/Mohd. Shaharani Saibi

Oleh FATIN AINAA FAUDZI
SHAH ALAM, AHAD, 08 Julai, 2012: Golongan belia di negara ini dinasihatkan menggunakan saluran yang betul untuk mengemukakan pendapat atau meluahkan rasa tidak puas hati terhadap kerajaan.

Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor berkata, antara saluran yang dilihat sesuai untuk mereka adalah menerusi penyertaan dalam majlis atau persidangan seperti Konvensyen Pemikir Muda Malaysia.

Menurutnya, konvensyen itu dilihat cara terbaik kepada generasi muda menyampaikan idea dan pemikiran baru yang kritis dan kreatif kepada kerajaan.

"Usaha sebegini amat digalakkan kerana inilah saluran bagi golongan muda melontarkan pendapat dan meluahkan perasaan terhadap kerajaan agar pembaharuan dapat dilakukan bersesuaian dengan kehendak dan aspirasi mereka.

"Mereka yang terlibat harus diberi pujian kerana telah menggunakan saluran yang betul dalam menyalurkan idea dan pandangan, tidak seperti sesetengah pihak yang menggunakan pentas jalanan untuk meluahkan kritikan dan pandangan yang hanya membawa kesan buruk kepada diri sendiri dan negara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutup Konvensyen Pemikir Muda Malaysia di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC), Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini malam semalam.

Hadir sama, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam; Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin dan Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Dr. Sahol Hamid Abu Bakar.

Menurut Rosmah, beliau percaya penganjuran Konvensyen Pemikir Muda Malaysia dapat mengubah persepsi sinis masyarakat terhadap remaja, sekali gus melahirkan belia yang bukan saja baik dari segi akademik, bijak dan berinovasi tetapi memiliki martabat dan nilai diri yang tinggi. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment