My Add

Wednesday 18 July 2012


DIKTATOR

1. Gelaran, seperti label untuk barangan berjenama, sukar untuk dikikis. Berasas atau tidak, gelaran kekal sepanjang hayat. Oleh itu gelaran amat berguna dalam politik, terutama gelaran yang memburuk musuh. Buatlah apa pun, musuh pihak yang bergelar tidak akan hentikan mengguna gelaran.

2. Sebagai Perdana Menteri dahulu saya diberi banyak gelaran. Mahazalim, Firaun, diktator adalah antara gelaran yang dicipta oleh musuh politik saya.

3. Apabila saya ditemuramah sekarang, walaupun oleh orang yang tidak bermusuh dengan saya, soalan-soalan mereka ternampak yang mereka agak percaya bahawa gelaran terutama gelaran diktator yang diberi kepada saya adalah tepat dan berasas kepada kepercayaan bahawa saya adalah seorang diktator.

4. Apakah yang saya lakukan yang menyamakan sifat dan perbuatan seorang diktator.

5. Sekarang kita sedang melihat kejatuhan beberapa ketua negara yang dicap sebagai diktator. Hosni Mubarak umpamanya dituduh membunuh beribu ahli Muslim brotherhood. Dia juga dikatakan telah mengumpul harta kekayaan bernilai 70 billion dolar Amerika.

6. Semasa saya berada di Kaherah di zaman Mubarak untuk bermesyuarat, apabila Presiden Mubarak bermotor dari istananya ke tempat persidangan, jalan yang dilalui olehnya dikosongkan dan askar bersenjata lengkap berderet sepanjang jalan. Di atas bumbung bangunan terdapat askar ‘sharp-shooter’ yang bersenjata untuk menembak sesiapa yang disyaki cuba menyerang rombongan Presiden.

7. Istana Presiden dikelilingi tembok tinggi dan askar bersenjata berada di sekililing sepanjang masa.

8. Musuh Mubarak tidak dibenar berpolitik, sering ditangkap, dikurung tanpa dibicara dan dihilangkan.

9. Selama 30 tahun Mubarak menjadi Presiden, pemilihan bagi jawatan ini tidak pernah ditandingi oleh orang lain. 99% daripada undi didapati oleh Mubarak.

10. Tidak ada kebebasan bersuara atau akhbar bebas. Tidak ada pilihanraya untuk ahli dewan. Siapa sahaja boleh dilantik oleh Mubarak untuk menjadi menteri. Mereka juga boleh dibuang bila-bila sahaja.

11. Ada lagi diktator yang dikenali umum. Hitler mendirikan pemerintahan kuku besi Nazi di Jerman. Enam juta Yahudi dibunuh dalam kamar gas. Yang tidak dibunuh, disiksa sehingga ramai yang mati.

12. Benito Mussolini, Ferdinand Marcos, Presiden Rumania Nicolae Ceauşescu yang dibunuh, dan ramai lagi yang dicap sebagai diktator. Demikian juga Gadaffi dan Saddam Hussein.

13. Saya ingin tahu daripada pelawat ke blog saya tentang apakah yang saya telah lakukan semasa saya menjadi Perdana Menteri Malaysia yang menjadi bukti bahawa saya adalah seorang diktator.

No comments:

Post a Comment