My Add

Tuesday 10 July 2012

Dua syarikat terima RM88 juta


*NOR Mohamed Yakcop menyaksikan pertukaran dokumen antara Ahmad Husni Hussain (dua kanan) dan Adanan Abdul Manap (kiri) pada majlis menandatangani perjanjian Dana Mudah Cara di Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya, semalam.

Oleh SHARAIMEI 
SHAIK AHMEDULLAH
PUTRAJAYA, ISNIN, 09 Julai, 2012: Kerajaan telah meluluskan peruntukan Dana Mudah Cara bernilai RM88.19 juta kepada dua syarikat milik bumiputera.

Dua syarikat itu, Tasja Development Sdn. Bhd. (Tasja Development) dan Plaza Merdeka Holding Sdn. Bhd. (Plaza Merdeka), masing-masing mendapat peruntukan sebanyak RM57.5 juta dan RM30.69 juta.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata, kedua-dua syarikat tersebut merupakan syarikat pertama bumiputera memperoleh dana tersebut yang jumlah keseluruhannya RM2 bilion.

Katanya, dana itu untuk kegunaan Projek Permulaan (EPP) bagi syarikat bumiputera yang layak melalui Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju).

"Dana ini merupakan skim baru yang telah diluluskan untuk membolehkan lebih banyak syarikat bumiputera memohon dana bagi menjalankan projek yang sekurang-kurangnya bernilai RM5 juta.

"Dana itu diberikan sebanyak 15 peratus daripada nilai keseluruhan projek yang akan dijalankan," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis Menandatangani Perjanjian Dana Mudah Cara antara Kerajaan, Bank Pembangunan Malaysia Bhd. dan Plaza Merdeka serta Tasja Development.

Turut hadir, Ketua Pengarah Unit Kerjasama Awam-Swasta (Ukas), Datuk Ahmad Husni Hussain; Pengarah Urusan Tasja Development, Adanan Abdul Manap dan Pengarah Urusan Plaza Merdeka, Steven Tan.

Dana Mudah Cara itu diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Ogos tahun lalu.

Kewujudan dana itu adalah hasil kerjasama Teraju dan Ukas sebagai sokongan kepada Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI) bumiputera dan akan menjadi insentif tambahan bagi syarikat yang memohon untuk mendapatkan bantuan di bawah program PKS Bumiputera Berprestasi Tinggi (Teras).

Menurut Nor Mohamed, dana berjumlah RM2 bilion itu diambil daripada peruntukan sebanyak RM20 bilion dalam Dana Mudah Cara yang ditadbir oleh Ukas untuk kegunaan syarikat swasta.

Katanya, dana RM2 bilion itu diambil bagi memudahkan syarikat bumiputera yang tidak mempunyai projek bernilai RM20 juta ke atas memperoleh bantuan dengan mudah.

"Untuk mewujudkan prosedur yang cepat kita memberi keutamaan kepada mana-mana projek di lima koridor iaitu Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI), Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER), Koridor Sarawak (Score) dan Koridor Pembangunan Sabah (SDC) atau taupun projek secara terus bersama Teraju," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment