ROGER Federer (kiri) dan Andy Murray memegang trofi selepas Federer menewaskan Murray, 4-6, 7-5, 6-3, 6-4 pada perlawanan akhir Kejohanan Wimbledon di London, awal pagi ini. - Foto Reuters
LONDON, ISNIN, 09 Julai, 2012: Roger Federer menumpaskan Andy Murray 4-6, 7-5, 6-3, 6-4 untuk mencipta rekod kejuaraan Wimbledon buat kali ketujuh dan kejuaraan grand slam ke-17, semalam.
Pilihan ketiga dari Swizerland itu bangkit daripada tewas di set pertama sebelum menguasai permainan dan menamatkan harapan Murray untuk menjadi pemain lelaki Britain pertama memenangi trofi itu di gelanggang sendiri sejak 76 tahun.
Kemenangan itu juga melonjakkan kembali Federer sebagai pemain nombor satu dunia.
Sementara itu Andy Murray mendakwa harapannya untuk menumbangkan Roger Federer pada perlawanan final, awal pagi tadi terjejas selepas bumbung gelanggang Centre Court ditutup.
Murray yang sebelum itu mengasak hebat juara enam kali Wimbledon pada perlawanan itu bagaimanapun tidak dapat bertahan selepas bumbung gelanggang terpaksa ditutup kerana hujan lebat. Ketika itu, mereka terpaksa ke bilik rehat bagi membolehkan bumbung ditutup dengan ketika itu kedudukan 1-1 pada set ketiga.
Pemain Scotland itu gagal muncul pemain British pertama memenangi Wimbledon sejak 1936.
“Sudah semestinya ia mengubah permainan saya," kata Murray.
“Permainan selepas bumbung ditutup agak berbeza. Saya fikir dia (Federer) melakukan servis yang baik apabila bumbung ditutup," katanya. - AFP
No comments:
Post a Comment