My Add

Thursday 19 July 2012

Felda bekerjasama dengan UPM hasilkan pelan induk

Oleh HUSSAINI AMRAN
KUALA LUMPUR, RABU, 18 Julai, 2012: Projek Model Pembangunan Generasi Baru Felda yang diterajui sekumpulan penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) bakal menjadi pelan induk dalam usaha membangunkan potensi generasi baru Felda.

Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad berkata, kajian model yang dijangka siap dalam masa sembilan bulan lagi itu membolehkan pengurusan generasi baru Felda dilakukan secara teratur.

Menurut beliau, antara fokus utama model tersebut adalah berkaitan aspek pendidikan, ekonomi, latihan kerjaya dan kemahiran serta pengurusan ladang getah dan kelapa sawit.

"Sudah tiba masanya kita membuat perancangan secara tersusun memperkasakan generasi baru yang dianggarkan seramai 1.6 juta orang yang bakal mewarisi kemakmuran Felda.

"Sehubungan itu, Felda memerlukan satu garis panduan yang mantap agar usaha membangunkan generasi baru yang ditekankan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai salah satu daripada lima teras Felda dilakukan secara berkesan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum perjanjian (MoA) Model Pembangunan Generasi Baru Felda antara UPM dan Felda di Dewan Besar UPM, dekat sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UPM, Prof. Datuk Dr. Mohd. Saleh Jaafar; Timbalan Pengarah Besar (Pembangunan Komuniti) Felda, Faizoull Ahmad dan Pengarah Urusan UPM Holdings Sdn. Bhd., Dr. Husaini Omar.

Projek Model Pembangunan Generasi Baru Felda dijalankan sekumpulan 17 pakar dalam bidang pendidikan, psikologi, sosiologi, ekonomi, pembangunan belia, pendidikan lanjutan dan teknologi maklumat.

Empat aspek yang bakal diperkasakan adalah pendidikan rendah dan menengah sebagai asas pembentukan generasi transformatif, persekitaran sosial dan pembangunan sahsiah yang mapan, akses kepada latihan kemahiran dan pendidikan tinggi di Felda serta alternatif aktiviti ekonomi generasi baru Felda.

Dana sebanyak RM541,700 untuk membiayai projek tersebut diperoleh menerusi geran yang dikeluarkan Felda. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment