My Add

Saturday 7 July 2012

GAPENA tidak setuju dengan tuntutan Dong Zong

GEORGETOWN, SABTU, 07 Julai, 2012: Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) tidak bersetuju dengan tuntutan Gabungan Jawatankuasa Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong), yang mahu bahasa Mandarin menjadi bahasa pengantar utama di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina di seluruh negara. 

Ketua Satu GAPENA, Profesor Datuk Wira Abdul Latiff Abu Bakar, berkata tuntutan itu bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi negara ini 

"Bahasa lain tidak harus dijadikan modal untuk mencabar bahasa kebangsaan negara ini," katanya ketika berucap pada perjumpaan siri wacana GAPENA di Dewan Sekolah Menengah (Perempuan) St George hari ini. 

Beliau berkata GAPENA akan menghantar memorandum akhir Julai ini kepada kerajaan Persekutuan agar mengabaikan tuntutan jawatankuasa itu. 

"Kami menggesa semua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyokong kami dan menyertai kami dalam memperjuang kedudukan bahasa Malaysia," katanya. 

Antara kandungan memorandum itu ialah menuntut agar diadakan semula silibus lisan bagi memastikan semua rakyat fasih bertutur bahasa kebangsaan dalam kehidupan seharian mereka. 

Abdul Latiff juga mengingatkan masyarakat agar menghormati bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan, dan bukan menganggap ia sebagai bahasa yang menunjukkan perbezaan kaum. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment