My Add

Tuesday 10 July 2012

Gempar nelayan naikkan ikan kembung 420 kilo dalam sejam

KUANTAN, SELASA, 10 Julai, 2012:: Suasana yang biasanya sepi di perkampungan nelayan Kampung Kempadang dekat sini bertukar menjadi riuh hari ini apabila sekumpulan nelayan berjaya menaikkan hasil tangkapan ikan kembung seberat 420 kilogram (kg).

Tiga daripada nelayan berkenaan tidak menyangka hasil tangkapan begitu banyak kerana sebelum ini memperoleh tangkapan antara 30 hingga 50 kg sahaja pada hari biasa. 

"Kami terkejut menaikkan seberat itu hasil tangkapan dalam masa satu jam berbanding pulangan hanya sekitar 30 hingga 50 kg sehari di hari biasa," kata Omar Baru, 54, ketika ditemui pemberita di pangkalan jeti nelayan. 

Penduduk kampung dan orang luar tidak ketinggalan berkumpul di kawasan tempat nelayan berkenaan menaikkan ikan untuk membeli ikan kembung dengan harga lebih murah iaitu RM10 sekilogram berbanding RM12 di pasar basah sekitar bandar Kuantan.

Dua nelayan muda yang juga adik beradik, Mohd Hafizan Abdul Jalil, 22, dan Ahmad Firdaus Abdul Jalil, 18, begitu teruja dan tidak menyangka rezeki yang diterima dan menganggapnya satu rahmat kerana belum pernah memperoleh tangkapan 300 kg sebelum ini. 

Ahmad Firdaus berkata, beliau bersama abangnya turun ke laut jam 6.30 pagi dengan memandu bot sejauh 12 kilometer dari pesisir pantai kampung sebelum melabuhkan pukat. 

"Selepas satu jam kami menarik naik pukat dan terkejut melihat begitu banyak tangkapan. Kami melepaskan pukat sebanyak dua kali sahaja dan begitu teruja dengan jumlah tangkapan," katanya. 

Katanya, sebelum ini mereka hanya balik ke pantai pada lewat petang dengan membawa hasil tangkapan yang tidak seberapa. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment