My Add

Sunday 8 July 2012

Hampir semua janji bajet dipenuhi

SHAH ALAM, SABTU, 07 Julai, 2012: Para pemimpin muda Barisan Nasional (BN) yakin Program Transformasi Kerajaan (GTP) yang dilaksanakan kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak telah membuahkan hasil apabila hampir semua janji yang dibuat dalam Bajet 2012 berjaya dipenuhi.

Menurut Pengerusi Sekretariat Orang Muda Selangor (Serang), Budiman Mohd. Zohdi, rakyat negeri ini boleh melihat sendiri program transformasi yang telah dan sedang dijalankan oleh kerajaan seperti Program Jelajah Janji Ditepati di Teras Jernang, Bangi yang bermula hari ini hingga esok.

''Pada program tersebut, rakyat boleh melihat sendiri kerajaan mana yang mampu menunaikan janji dan kerajaan negeri mana yang sering membuat janji tetapi tidak ditepati.

''Rakyat boleh melihat sendiri hasil GTP yang berjaya melakukan banyak perubahan untuk rakyat walaupun Perdana Menteri belum cukup satu penggal menerajui negara ini," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Timbalan Ketua Pemuda MCA negeri, Dr. Ching Eu Boon pula berkata, kerajaan BN bertanggungjawab terhadap setiap janji yang dibuat semasa pembentangan bajet tahun lalu.

''Penganjuran program itu merupakan satu cara kerajaan menjelaskan kepada rakyat Selangor tentang janji untuk membantu mereka dari segi ekonomi yang telah dipenuhi seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), bantuan RM100 untuk setiap pelajar sekolah dan baucar buku RM200 untuk pelajar institusi pengajian tinggi (IPT).

''Pemimpin pembangkang pula sebaliknya hanya mampu membuat janji manis seperti mahu membela penduduk Kampung Buah Pala di Pulau Pinang namun lihat apakah nasib penduduk kampung yang berusia 100 tahun itu," katanya.

Bagi Ketua Pemuda Gerakan Selangor, Ben Liew pula, kerajaan BN telah melakukan transformasi politik dengan memberi lebih ruang untuk rakyat menyampaikan suara mereka dengan menggubal Akta Perhimpunan Aman 2011.

''Selama ini rakyat menganggap kerajaan menghalang mereka untuk menyampaikan suara hati namun dengan wujudnya Akta Perhimpunan Aman 2011 di bawah pentadbiran Perdana Menteri, generasi muda boleh meluahkan rasa hati dengan cara lebih terkawal.

''Kebenaran untuk berhimpun secara aman di stadium boleh digunakan sebaiknya, tidak perlu untuk rakyat menyampaikan suara hati di Internet lagi secara membuta-tuli dan menyertai perhimpunan seperti Bersih 3.0 yang banyak mendatangkan kerosakan kepada harta awam," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Pemuda MIC Selangor, D. Kagendra menganggap BN tidak hanya pandai menabur janji bagi memancing undi tetapi menunaikannya secara telus dan sistematik.

''Sebagai seorang rakyat biasa, banyak peluang dari segi kebajikan dan pelajaran telah diberi oleh kerajaan BN yang bertanggungjawab. Kerajaan telah membuktikan kebajikan rakyat diutamakan tanpa memilih sama ada penerima merupakan penyokong kerajaan BN mahu pun pembangkang," katanya.

''Tidak seperti kerajaan pakatan pembangkang yang suka menabur janji tetapi hingga kini janji menurunkan cukai pintu dan cukai komersial di Selangor gagal dipenuhi," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment